Home Berita PAS Terengganu

Piala FA: TFC ‘ratah’ Melaka

14
SHARE

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila menundukkan Melaka FC 4-0 pada aksi Piala FA, malam tadi.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan pertamanya dalam saingan Piala FA pada musim ini.

Pada aksi tersebut, TFC tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-4 menerusi penyerang import, Ivan Mamut yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk TFC mendahului 1-0.

TFC yang bermula garang itu terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan, namun pada minit ke-34 percubaan Ivan Mamut berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Muhammad Daniel.

Bersambung babak kedua, skuad tuan rumah hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-57 apabila rembatan Muhammad Safwan diselamatkan penjaga gol lawan hasil hantaran cantik Arif Fadzilah.

Pada minit ke-70, Stadium Sultan Mizan kembali bergema apabila Mohamad Hakimi berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan padu dari dalam kotak penalti membolosi pintu gol pelawat.

Berselang 12 minit, Jordan Mintah menggamatkan sorakan lebih 5,000 penyokong tuan rumah dengan gol ketiga Terengganu FC melalui umpanan cantik pemain tengah, Omid Nazari.

Memasuki masa tambahan, Jordan terus menambah derita Melaka FC apabila melengkapkan gol keempat bagi memastikan kemenangan bergaya 4-0 memihak TFC.