Oleh: Ibnu Nas
15 April 2023
KINABATANGAN: Para penerima Bakul Ramadan PAS Kinabatangan di Kg. Sungai Lokan menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang tidak disangka-sangka yang diserahkan kepada mereka, semalam.
Bagi mereka sumbangan ini cukup bermakna kerana lokasi kampung ini yang terletak di kawasan pedalaman Kinabatangan.
Misi pada kali ini memakan masa 1 jam lebih perjalanan bermula dari Pekan Kota Kinabatangan sehinggalah ke lokasi sasaran.
Menurut Ketua Pemuda PAS Kinabatangan, Jumaidin Lakalla, sumbangan Bakul Ramadan ini untuk semua yang memerlukan tanpa mengira warna parti, kaum dan bangsa.
“Penerima Bakul Ramadan ini dari pelbagai latar belakang masyarakat, termasuklah golongan asnaf, warga emas serta ibu tunggal,
“Kita sedia maklum, terdapat banyak kampung yang terdapat di pedalaman Kinabatangan ini,
“Atas sebab itu, kami cuba semampu mungkin untuk menyampaikan sumbangan ini kepada mereka semua,” jelasnya lagi.
Turut terlibat dalam menjayakan misi ini antaranya ialah anggota Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kinabatangan, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kinabatangan dan Pengarah Alternative Riding Club (ARC) Kinabatangan.
Misi yang bermula selepas Solat Jumaat itu telah berakhir pada jam 4 petang, semalam.