Home Minda Presiden

Peristiwa Nuzul Al-Quran

851
SHARE

Minda Presiden PAS [Bil: 22 / 2023]
PERISTIWA NUZUL AL-QURAN


Allah SWT memilih bulan Ramadan berlakunya peristiwa Nuzul al-Quran (diturunkan al-Quran), yang menunjukkan kelebihan bulan yang mulia dan berkat ini. Firman Allah SWT:

﴿شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ…١٨٥﴾

“Pada bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)

Al-Quran kitab suci kalam Allah, ilmu dan kebijaksanaan-Nya, serta adil yang tiada bandingan dan tandingan.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةٖ مُّبَٰرَكَةٍۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ٣﴾

“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberikan peringatan.” (Surah al-Dukhan: 3)

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ١ وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ٢ لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ٣ أَلۡفِ شَهۡرٖ تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ بِإِذۡنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمۡرٖ٤ سَلَٰمٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ٥﴾

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar. (1) Dan tahukah kamu, apakah itu malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. (3) Pada malam itu malaikat-malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (4) Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar. (5)” (Surah al-Qadr: 1-5)

Para ulama’ tafsir menyatakan bahawa al-Quran diturunkan dari Loh Mahfuz ke langit dunia terlebih dahulu. Kemudiannya, diturunkan oleh Malaikat Jibril AS secara berperingkat dalam beberapa ayat selama 23 tahun di Makkah (Marhalah Makkiyyah), seterusnya di Madinah (Marhalah Madaniyyah). Bahkan, juga dinyatakan bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW berlaku dalam bulan Ramadan pada malam al-Qadar yang besar fadilatnya.

Perkara yang terpenting bagi penganut Islam ialah beriman bahawa al-Quran itu tiada keraguan sedikit pun akan kebenarannya dan menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Walaupun hanya mereka yang beriman dan bertaqwa sahaja menerimanya, namun hakikatnya tidak boleh dinafikan. Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢﴾

“Alif lam mim. (1) Kitab (al-Quran) ini tiada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (2)” (Surah al-Baqarah: 1-2)

Semua kajian yang dilakukan secara ikhlas mendapati bahawa sudah menjadi kenyataan sepenuhnya, semua perkara yang dinyatakan oleh al-Quran itu adalah benar. Semua perkara yang telah berlaku di alam dunia pada zaman dahulu, kini dan akan datang menepati kebenarannya.

Berkenaan kejadian alam bumi dan langit yang nyata dapat dilihat, segala hukum-hakamnya benar, adil dan membawa rahmat kepada seluruh alam. Maka, perkara yang ghaib dan peristiwa akan datang pada Hari Kiamat sudah pasti semuanya benar.

Oleh itu, al-Quran ialah petunjuk yang betul dan benar. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ٩﴾

“Sesungguhnya, al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus (betul).” (Surah al-Isra’: 9)

Al-Quran ialah kitab suci petunjuk Allah SWT daripada kalam-Nya (kata-kata-Nya) dan ilmu-Nya yang menjadi sifat yang wajib diimani. Malah, al-Quran juga menerangkan dengan sempurna semua urusan manusia, bermula daripada iman (kepercayaan) kepada Allah yang Maha Esa dan rukun-rukun iman yang lain.

Dalam pada itu, al-Quran juga menyebutkan berkenaan perkara ibadat dan akhlak, keluarga, muamalat politik, ekonomi dan kemasyarakatan seluruhnya, sama ada dalam keluarga, sehinggalah dalam satu negara dan antara negara dan benua, perkara langit dan bumi, perkara yang nyata dan ghaib, alam dunia dan akhirat. Semua kenyataan dan petunjuknya adalah benar, dan tidak boleh dipertikaikan sekali-kali. Semua hukumnya adil dan menyelesaikan semua masalah.

Apa-apa kajian yang bercanggah dengan al-Quran sudah pasti salah dan terpesong, akhirnya pasti nyata benarnya al-Quran. Pelaksanaannya yang gagal kerana salah pelaksananya yang tidak berilmu dan bertafaquh (faham), bukan kerana salah petunjuk al-Quran.

Firman Allah SWT:

﴿…وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ تِبۡيَٰنٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ٨٩﴾

“(Dan ingatlah) Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (Surah al-Nahl: 89)

Allah SWT mencabar dengan amaran keras sesiapa yang mempertikaikan kebenaran al-Quran, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), maka ciptakanlah satu surah (sahaja) yang semisal al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. (23) Maka, jika kamu tidak dapat membuatnya dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, (tempat) yang disediakan bagi orang-orang kafir (melawan al-Quran). (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Allah SWT mewajibkan kepada semua mereka yang beriman, bermula daripada para anbiya’, para raja dan pemimpin, sehinggalah para ulama’ supaya menyelesaikan pertelingkahan dengan berpandukan al-Quran. Termasuklah ajaran Rasulullah SAW yang menjadi ikutan dan teladan berpegang dengan petunjuk al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang mereka berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (-Nya), dan ulil amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Ketika memeteraikan Piagam Madinah yang menjadi asas perlembagaan negara Islam, Rasulullah SAW memerintahkan supaya al-Quran diletakkan sebagai sumber rujukan paling tinggi. Sebagaimana kata Baginda:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، ‌فَإِنَّ ‌مَرَدَّهُ ‌إِلَى ‌اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan bahawa sesungguhnya apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan dalam kalangan para ahli yang memeteraikan piagam ini daripada apa jua perkara yang berlaku dan pertelingkahan yang ditakuti akan merosakkannya, maka hendaklah ia dirujuk kepada Allah (al-Quran) dan Nabi Muhammad SAW (Sunnah).” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, ms. 504)

Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim juga pernah mencadangkan supaya prinsip ini diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Para ilmuwan undang-undang antarabangsa yang bersidang bagi menggubal undang-undang antarabangsa dan piagamnya terpaksa akur hingga akhirnya terpaksa merujuk kepada terjemahan al-Quran.

Kini, kita sedang menyaksikan kegagalan berbagai-bagai agama, ideologi, teori dan undang-undang ciptaan manusia. Maka, wajib bagi umat Islam kembali ke pangkal jalan yang telah ditunjukkan kejayaannya oleh Rasulullah SAW dan generasi awal selepasnya yang berpegang teguh dengan al-Quran secara berilmu dan tafaquh dalam perkara Islam.

Mereka beriman dan beramal mengikut petunjuk al-Quran secara nas dasar dan konsep umum supaya ilmu dan akal bersama hidayah Allah daripada al-Quran. Selain itu, juga melaksanakan Islam tanpa bertafaquh (berilmu dengan kefahaman) boleh merosakkan kemurnian al-Quran dan tidak mencapai hikmahnya.

Manusia tetap bersifat dengan sifat yang menunjukkan kelemahan makhluk, maka al-Quran menjadi petunjuk bagi membetulkan apa-apa kelemahan yang ada pada akal manusia dan kajian yang dijalankannya, bagi kebaikan kepada mereka untuk menjalankan tugas di alam dunia yang akan dihisab pada Hari Akhirat.

Tarbiah diri pada bulan Ramadan mencetuskan kesedaran dan kekuatan iman seseorang hamba untuk mengikut perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya secara beribadat dalam semua urusan. Pada masa yang sama, mewajibkan diri untuk menerima al-Quran menjadi petunjuk dalam semua urusan kehidupan sepanjang perjalanan hidup, yang telah ditetapkan hala tuju dan sempadannya oleh Allah SWT mengikut kemampuan manusia yang sebenar.

Al-Quran adalah penentu jalan yang betul dan benar membawa kebaikan kepada manusia, serta menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh manusia. Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ٥٧﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhan kamu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW supaya menguruskan manusia dengan petunjuk al-Quran dan tidak terpengaruh dengan petunjuk lain yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya, Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah diwahyukan Allah kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah), kerana (ingin membela) orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Allah SWT menegaskan bahawa perkara lain selain daripada petunjuk al-Quran adalah mengikut hawa nafsu dan hukum jahiliah yang merosakkan. Firman Allah SWT:

﴿…فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ…٤٨﴾

“…Maka, putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu…” (Surah al-Ma’idah: 48)

Allah SWT memberikan kelebihan kepada manusia dengan berakal dan bertenaga, baik secara individu mahupun kolektif dalam bermasyarakat dan tidak mengongkong akal manusia mengikut kemampuannya berfikir dan mengkaji. Akan tetapi, menetapkan sempadan kemampuan mereka yang memberikan kebaikan dunia dan akhirat.

Apabila manusia melampaui sempadan, perkara itu akan merosakkan diri mereka sendiri, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ٧٧﴾

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni‘matan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77)

Al-Quran ialah kurniaan Allah SWT kepada manusia yang penuh kebaikan. Oleh itu, mereka wajib bersyukur menerimanya dengan beriman dan beramal soleh dalam perkara dunia yang menjadi jambatan ke akhirat dan mencapai perkara yang dijanjikan pada Hari Akhirat.

Jadikan Ramadan bulan untuk beribadat, berfikir dan insaf bersama petunjuk al-Quran, di samping mengerjakan ibadat puasa yang mentarbiah diri agar berada dalam sempadan Allah yang wajib dijaga. Selepas Ramadan menjalani kehidupan yang berpanjangan, wawasannya daripada dunia sehingga Hari Akhirat yang kekal abadi. Seterusnya, melakukan kebajikan dalam aspek hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia, menjadi hamba yang sabar dan hamba yang bersyukur mengikut acuan Allah daripada al-Quran.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 11 Ramadan 1444 / 2 April 2023