Home Melaka

Rencana | Akhirnya DAP bertapak dalam kerajaan Umno Melaka

566
SHARE

Oleh IBNU JANIE

DAHULU Umno dan DAP ini ibarat minyak dan air, dikatakan tidak mungkin bersatu. Umpama ada membran yang mengasing dan memisahkan kedua-duanya parti yang didominasi dua kaum berbeza ini.

Dan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sesiapa yang kata bahawa Umno dan DAP akan bersahabat akan dianggap gila kerana ia ibaratnya tidak masuk akal.

Namun, selepas PRU-15 DAP akhirnya menjadi sahabat baik Umno dunia akhirat. Membran yang memisahkan mereka selama ini sudah pecah dan mereka sudah bertaut.

Pada PRU15, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Umno-BN hanya mendapat sembilan kerusi, Perikatan Nasional (PN) 24 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) menang 26 kerusi.

Untuk membentuk kerajaan perlu kepada sekurang-kurangnya 30 daripada 59 kerusi. Umno-BN boleh membentuk kerajaan bersama PN yang didominasi ADUN Melayu-Islam. Namun Umno-BN memilih untuk bersama majoriti bukan Melayu Islam daripada PH-DAP.

Sama juga di Pahang. Umno-BN menang 17, PN menang 17, PH hanya menang lapan kerusi. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 22 daripada 42 keseluruhan kerusi Dewan Negeri (DN).



 

Umno-BN boleh memilih untuk bersama dengan 17 Ahli DN PN membentuk kerajaan dominasi Melayu-Islam yang kuat bersama PN. Namun Umno-BN Pahang memilih untuk bersama PH-DAP.

Terkini di Melaka, DAP berjaya juga bertapak walau pun Umno-BN sudah pun membentuk kerajaan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lebih awal pada 2021 dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.

Perebutan jawatan Ketua Menteri (KM) Melaka sesama pemimpin Umno sendiri membuka jalan kepada masuknya DAP ke dalam kerajaan yang didominasi Umno.

Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menjadi KM semenjak perubahan kerajaan susulan ‘Langkah Sheraton’ pada 2020. Ini kerana Pengerusi Perhubungan Umno-BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika itu bukan ADUN.

Selepas PRN Melaka 2021 Rauf telah berjaya menjadi ADUN namun gagal merampas jawatan KM dari Sulaiman. Sulaiman sebenarnya lebih popular dalam kalangan rakyat kerana sikapnya yang merendah diri.

Perubahan politik di peringkat Persekutuan selepas PRU15 dilihat sebagai masa paling sesuai untuk menjatuhkan Sulaiman dan ‘menabalkan’ Rauf sebagai KM baharu.

Atas nama menyesuaikan Kerajaan Negeri Melaka dengan kerajaan PH-BN di peringkat Persekutuan maka Melaka juga katanya perlu mengikut Persekutuan dengan perlu memasukkan wakil PH-DAP dalam Exco Kerajaan Negeri.

Sulaiman pula dilihat cenderung umtuk mempertahankan kerajaan asal dan tidak berminat untuk menyertakan DAP dalam kerajaan. Maka ini masa terbaik untuk Rauf dinaikkan sebagai KM bersama-sama dengan rombakan ini.

Rancangan teliti ini berjalan rapi dengan Zahid sendiri dilihat beberapa kali turun ke Melaka mungkin untuk menguruskan pertukaran ini. Ia pasti direstui pimpinan tertinggi PH.

Dahulu dengan 21 kerusi mungkin berisiko untuk melakukan perubahan kerana masih ada ADUN yang setia pada Sulaiman. Mereka sudah tentu tidak mahu kegagalan menukar kerajaan Sabah berulang lagi.

Namun kali ini mereka ada lima ADUN PH-DAP yang memang menunggu-nunggu untuk menjadi Exco untuk membantu rancangan ini. Jadi ADUN PH-DAP ini telah memudahkan lagi rancangan ini.

Mengimbas kembali komposisi barisan Exco Melaka, semasa PH membentuk kerajaan pada PRU14 dahulu termasuk KM, jumlahnya ialah enam Melayu dan lima bukan Melayu.

Selepas PRN Melaka, apabila Umno-BN memerintah bersendirian komposisinya adalah sembilan Melayu dan dua bukan Melayu. Selepas terbentuknya kerajaan bersama PH-DAP kini komposisinya lapan Melayu dan tiga bukan Melayu dengan satunya milik DAP.

Hanya semasa pembentukan kerajaan PN-BN pada 2020 kita berjaya melihat komposisi Exco Melaka semua Melayu-Islam. Walau pun begitu Umno seperti tidak berminat dengan kondisi Melayu-Islam kuat seperti ini.

Dan Umno kini dilihat lebih selesa berkongsi kuasa dengan DAP yang dahulu mereka tuduh sebagai ancaman kepada orang Melayu berbanding bekerjasama dengan PN yang didominasi Melayu-Islam.

Agak ‘kliche’ apabila kita melihat pada sejarah kerajaan-kerajaan Melayu lama apabila berlaku perebutan kuasa dalam kalangan pembesar Melayu maka akan ada watak pihak asing yang akan mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam kuasa pentadbiran.

Umpama sejarah yang terus-terusan berulang selagi orang Melayu-Islam tidak mengambil pengajaran.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 10-13 April 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH