KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu memaklumkan bahawa bekalan telur di negeri ini mengalami penurunan sehingga 33 peratus pada bulan Ramadan.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata keperluan bekalan harian yang diterima pada bulan puasa ini sekitar 400,000 biji sahaja berbanding 600,000 sebelum ini.
Katanya, sedangkan keperluan telur ayam rakyat Terengganu adalah sebanyak satu juta biji sehari.
“Maklum balas yang diterima daripada pihak pemborong telur ayam menyatakan faktor utama berlakunya penurunan mendadak ini adalah kerana kekurangan bekalan diterima daripada pembekal iaitu pengusaha ladang.
“Kekurangan bekalan ini adalah disebabkan permintaan telur ayam yang semakin meningkat pada bulan Ramadan dan pihak ladang lebih mengutamakan pasaran setempat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Tambah Saharuddin, pembelian melebihi kadar biasa oleh pengguna, pengusaha pada bulan puasa ini menyebabkan premis-premis tertentu kehabisan bekalan telur ayam lebih awal sebelum bekalan seterusnya diperolehi sebagaimana yang dijadualkan.
Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada hari ini mendapati daripada 13 pemborong telur ayam hanya satu pemborong sahaja yang kehabisan bekalan manakala daripada 39 peruncit terpilih.
“Hanya satu peruncit sahaja yang kehabisan bekalan malah premis berkenaan sudah membuat tempahan dan peladang/pemborong akan membuat edaran dalam masa terdekat,” jelasnya.
Sementara itu, KPDN Terengganu memerlukan kerjasama daripada pengguna untuk membuat pembelian secara berhemah.
“KPDN ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan menaikkan harga,” ujarnya.