(Sedutan laporan akhbar The Star Online bertajuk: “Selangor PAS urges state to allow visiting clerics to preach in mosques, surau” bertarikh 16 Mac 2023)
Wartawan akhbar harian berbahasa Inggeris The Star, Wani Muthiah baru-baru ini bertemu Dato Dr Ahmad Yunus Hairi, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga ADUN PAS kawasan Sijangkang di luar persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam.
Antara beberapa isu yang diminta penjelasan dari Dato Dr Ahmad Yunus termasuklah berkaitan isu tauliah sementara kepada para pendakwah bebas untuk berceramah di masjid dan surau seluruh Selangor yang dicadangkan ADUN Sijangkang itu.
Menurut beliau lebih wajar memberikan tauliah sementara yang bersyarat kepada para pendakwah pelawat ini daripada mengharamkan mereka sama-sekali.
Tauliah bersyarat ini bolehlah menggariskan secara khusus perkara dan topik yang tidak dibenarkan disentuh oleh para pendakwah ini ketika menjalankan tugas mereka.
Tambah beliau lagi adalah tidak adil menilai seseorang pendakwah semata-mata kerana mereka punya hubungan dengan PAS.
Menurutnya berdasarkan pengalaman beliau sendiri kebanyakkan para pendakwah pelawat ini lazimnya menyentuh perkara-perkara positif termasuklah menentang ajaran sesat dan fitnah terhadap Islam.
Isu ini katanya lagi telah banyak kali dibangkitkannya samada ketika pertemuan dengan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) termasuklah disentuhnya berkali-kali dipersidangan Dewan Negeri.
PAS Selangor sesungguhnya setuju dan akur bahawa perkara-perkara politik kepartian tidak sesuai dibangkitkan oleh mana-mana penceramah dalam masjid dan surau.
Kerana itu PAS Selangor mengharapkan melalui cadangan pengeluaran tauliah sementara bersyarat ini, kesucian dan kemakmuran masjid dan surau dapat dipelihara dan dalam waktu yang sama ia terus dapat menjadi pusat ilmu dan menyumbang ke arah pembinaan sebuah masyarakat Islam yang beradab dan progresif di Selangor.
Disediakan oleh:
Aizuddin Hj Zakaria
Pegawai Khas Media
Kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
16 Mac, 2023