Pemuda PAS Wangsa Maju Tekad Teruskan Momentum Pilihan Raya, Perkukuh Saf Perjuangan di Muktamar Wilayah

oleh : Abdul Fateh
PUTRAJAYA, 26 Julai -Perwakilan Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju telah menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Putrajaya sebagai tanda komitmen dalam memperkukuhkan saf kepimpinan dan memperkasa agenda perjuangan parti.
Rombongan perwakilan diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Beyhaqi Ramli, bersama Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju, Izzudin Hamidan, serta ahli jawatankuasa Pemuda PAS Wangsa Maju
Dalam muktamar tersebut, Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju menzahirkan tekad untuk meneruskan momentum gerak kerja yang dibina sepanjang pilihan raya, dengan memperkukuhkan jentera, memperluaskan khidmat kepada masyarakat serta memperhebat usaha mendekati golongan muda.
Semangat dan pengalaman sepanjang pilihan raya akan terus dijadikan pemangkin untuk menggerakkan aktiviti organisasi secara lebih tersusun, berdisiplin dan berkesan demi memperjuangkan aspirasi rakyat serta memperkukuhkan sokongan kepada PAS di Wangsa Maju.
Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju komited untuk terus istiqamah berkhidmat, memperkasa perjuangan Islam dan memastikan semangat kerja yang ditunjukkan sepanjang pilihan raya terus subur dalam setiap gerak kerja parti.