KUALA TERENGGANU – Sebanyak 107 produk tamat tarikh luput dirampas dalam satu operasi khas Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata sebanyak 40 premis perniagaan melibatkan pasaraya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong bahan mentah telah diperiksa.
Katanya, kesemua produk itu dirampas oleh anggota penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam operasi tersebut.
“Terdapat juga 50 bungkusan produk yang melibatkan tin kemek dan pembungkusan bocor dan rosak turut berjaya dirampas.
“Kesemua nilai sitaan berjumlah RM 1,177.31 dan jumlah berat keseluruhan produk dirampas ialah sebanyak 67.8 kg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita daripada Utusan Malaysia dan Kosmo pada hari ni.
Tambah Dr Kasemani, sebanyak empat notis kesalahan di bawah Peraturan 14(9)(b) Pengkompaunan Kesalahan 2017 turut dikeluarkan kepada peniaga yang masih ingkar menjual produk yang telah tamat tarikh luput.
“Dua notis kesalahan turut dikeluarkan di bawah Peraturan 35 kerana menjual produk makanan berkaleng (tin) yang telah kemek pembungkusan bocor dan rosak dengan jumlah keseluruhan nilai kompaun ditawarkan berjumlah RM19,500.
“Operasi ini dijalankan bertujuan untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan dan mematuhi keperluan perundangan makanan sebagaimana ditetapkan,” ujarnya.