Home Berita PAS Terengganu

Terengganu atur strategi tanam padi dua kali setahun

165
SHARE

KUALA NERUS – Terengganu mengambil beberapa strategi bagi meningkatkan hasil padi di negeri ini termasuk memastikan kawasan sawah yang ditanam sekali setahun ditingkatkan kepada dua kali dalam satu tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi memastikan perkara berkenaan dapat direalisasikan kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan besar bagi projek pembangunan infrastruktur sawah padi.

“Tahun ini sahaja RM4 juta diperuntukkan untuk mempertingkatkan sistem pengairan dan saliran dalam rangka untuk memastikan kesuburan tanah dapat dipertingkatkan serta berkemampuan untuk bertanam dari sekali setahun kepada dua kali setahun, dengan cara itu boleh meningkatkan pengeluaran setiap hektar.

“Usaha-usaha untuk meningkatkan infrastruktur dan kesuburan tanah ini kita akan buat secara berterusan, ringkasnya tanah kita tidak akan bertambah keluasan tetapi hasil pengeluarannya bagi setiap hektar akan terus meningkat.

“Setakat ini Terengganu merupakan negeri kedua tertinggi pengeluarannya dalam negara¬†dengan purata 5.2 metrik tan per hektar sedikit sahaja ketinggalan daripada Kawasan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (Iada) dengan pengeluaran yang dihasilkan adalah 5.6 metrik tan per hektar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyempurnakan perasmian Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan di Dewan Perdana, Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, hari ini.

Selain itu menurut Dr Azman, dalam memastikan sasaran Kadar Sara Diri (SSR) dapat dicapai sepenuhnya beberapa langkah dan strategi lain juga turut diambil.

“Sekarang ini kita sudah menghampiri kadar SSR 60 peratus, masih ada 40 peratus lagi kita terpaksa bergantung dengan bekalan daripada luar ngeri atau luar negara.

“Antara strategi meningkatkkan pengeluaran selain menanam padi dua kali setahun ialah, mengetatkan kelulusan permohonan tukar syarat tanah, dengan makna sekiranya kawasan berkenaan merupakan kawasan aktif tanaman padi, maka tidak dibenarkan menukar syarat untuk dibina bangunan, rumah kediaman dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Dr Azman memaklumkan Terengganu tidak mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi melalui penanaman lima kali setahun dalam tempoh dua tahun kerana berhadapan halangan Monsun Timur Laut yang kerap berlaku sekitar November hingga Februari.

Untuk rekod antara kawasan sawah yang ditanam padi dua kali setahun membabitkan Skim Paya Padi Dadong, Skim Paya Paman di Kemaman dan Skim Durian Mentangau di Dungun.

Manakala hasil pengeluaran padi di negeri ini menunjukkan berlaku peningkatan pada tahun 2019 sebanyak 71,382 matrik tan, 73,068 matrik tan (2020) dan 75,013 matrik tan (2021) cuma hasil padi tahun 2022 mengalami penurunan disebabkan faktor bencana luar jangka pada Februari tahun lalu.