‘Shariah Life’ bimbing belia seimbang dunia digital dan tuntutan agama
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 26 Julai – Pendekatan Shariah Life terus diperkasakan sebagai medium membimbing generasi muda agar mampu menyeimbangkan perkembangan dunia digital dengan tuntutan agama, sekali gus melahirkan belia yang berakhlak, berdisiplin dan berpegang teguh kepada syariat Islam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata pendekatan tersebut membuktikan aktiviti yang menjadi minat golongan belia termasuk e-sukan boleh dimanfaatkan sebagai platform dakwah sekiranya dipandu dengan nilai-nilai Islam.
Menurutnya, golongan belia bebas berhibur dan mengikuti perkembangan teknologi semasa namun tanggungjawab terhadap agama tidak boleh diketepikan.
“Anak-anak muda hendaklah sentiasa menjaga solat, mengurus masa belajar dengan berdisiplin, menghormati ibu bapa dan guru serta berakhlak baik dengan semua orang.
“Kita ingin bermain, berhibur dan bersuka ria, silakan asalkan selari dengan tuntutan syariah. Main, main juga, akhirat jangan lupa,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my