Home Berita PAS Sabah

Kesungguhan guru PASTI didik murid tunjang kekuatan bentuk generasi soleh

392
SHARE

Oleh : Nur syarifah Ariffin
12 Januari 2023

TAWAU: Kesungguhan guru-guru PASTI dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak adalah merupakan tunjang kekuatan kepada rakyat untuk terus mendidik generasi soleh dan pintar

Menurut Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Sabah, Rosli Hasani, guru PASTI menjadi barisan hadapan kepada sektor pendidikan di bawah kelolaan PAS.

“PASTI semakin menjadi pilihan masyarakat di Sabah kerana berjaya menubuhkan 124 buah PASTI di negeri ini.

“Setakat ni jumlah pelajar adalah seramai 7 ribu lebih dengan kekuatan sebanyak 391 orang guru,” ujarnya ketika merasmikan Kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) semester 6 di Hotel De Choice, di sini, Ahad lalu.

Menurut Ketua Pengarah Institut Latihan PASTI Malaysia (ILPM), Muhammad Aminur Syafiq pula, PASTI pusat akan berusaha membentuk dan memberikan pendidikan terbaik buat guru-guru melalui DPAK .

“Kursus ini setaraf dengan pendidikan guru-guru sekolah di bawah kementerian dan Diploma institusi lain melalui modul yang telah dirangka.

“Guru-guru akan berkonvokesyen apabila berjaya menjalani tujuh semester dalam DPAK dan ini adalah sebagai tanda pengiktirafan sebagai seorang guru” katanya.

Turut hadir semasa majlis perasmian, Timbalan Pengarah ILPM, Ustaz Hamdi Husin; Pengurus Latihan Guru ILPM, Helmi Affindi; Ketua MGP Malaysia, Saadiah Abu Bakar; Setiausaha MGP Malaysia, Jaswati Ismail; Ketua Pengarah PASTI Sabah, Karim Dullah; Ketua MGP PASTI Sabah, Wahayu Juremi dan Ketua MGP PASTI Tawau, Hasni Abdul Latif.

Sementara itu, Ketua Pengurus Institut Latihan PASTI Peringkat Sabah, Burhanuddin Sirajuddin menyeru agar guru-guru berani bersuara dalam menyatakan keperluan dan kebajikan.

“Menyatakan hak kebajikan kita sebagai guru bukanlah penghalang keikhlasan kita agar pihak pengurusan tahu apa keperluan kita dan supaya kebajikan guru sebagai tunjang kepada jemaah ini terus terjaga,” ujarnya.

Seramai 114 guru telah mengikuti kursus selasa 3 hari 2 malam yang disertai oleh guru PASTI seluruh Sabah.

Kursus itu dikendalikan oleh pensyarah daripada ILPM dengan bantuan 8 orang jurulatih utama .