Minda Presiden PAS
[Bil: 3 / 2023]
ISLAM DILARANG BERNEGARA
Firman Allah SWT:
﴿شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالۡمَلٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ١٨ إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِاٰيَٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ١٩﴾
“Allah menjadi saksi (menyatakan) bahawasanya tiada Tuhan yang sebenar melainkan Dia (yang berhak disembah). Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tiada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (18); Sesungguhnya, agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berkhilaf orang-orang yang telah diberikan al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) antara mereka. Sesiapa yang kufur (ingkar) terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya. (19)” (Surah Ali ‘Imran: 18-19)
Lakaran Islam yang sempurna daripada Allah SWT yang dibawa oleh para rasul itu terbukti berjaya membawa rahmat, keampunan dan keberkatan-Nya kepada manusia. Ajaran Islam yang adil kepada seluruh manusia dengan wujudnya undang-undang syariat Allah yang adil itu membawa keamanan dan keselamatan.
Malah, juga telah dibuktikan kejayaan Islam membawa konsep ilmu yang berdasarkan iman dan akhlak berjaya mencipta sebuah tamadun Islam pada zaman keemasannya. Kejayaan yang tetap dikenang kerana membawa kebajikan kepada seluruh manusia.
Semuanya adalah berprinsipkan iman, Islam dan ihsan yang lengkap bagi manusia merangkumi aspek aqidah, syariat, akhlak dan sistem kehidupan yang sempurna. Demikian itulah, perkara yang tidak dapat disempurnakan oleh agama-agama yang lain dan lebih parah lagi ia tidak dapat diatasi oleh ideologi ciptaan manusia yang ternyata lemah dan telah menemui kegagalannya yang nyata berlaku kini.
Justeru, inilah sebab mengapa Islam ditentang secara habis-habisan oleh semua yang lain daripadanya, sama ada yang bersifat agama atau ideologi. Hal ini demikian kerana, Islam mendedahkan kelemahan yang lain dan menentang kezaliman yang melanda akibat nafsu pemerintah, agamawan dan ilmuwan yang jahat pada setiap zaman.
Ini sekali gus telah merosakkan kehidupan manusia dalam segala aspeknya, apabila manusia meninggalkan petunjuk Allah sebagai Pencipta alam. Namun, Allah SWT menjanjikan sebuah kemenangan melalui perjuangan yang mendidik para pendukung Islam yang bersabar dan tidak menyerah kalah sepanjang zaman.
Pada masa yang sama, para musuhnya juga tetap berdegil serta berterusan menentang Islam dengan melakukan fitnah dan kezaliman terhadap Islam yang sebenar termasuk penganutnya yang setia. Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿وَٱلۡفِتۡنَةُ أَكۡبَرُ مِنَ ٱلۡقَتۡلِۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُولٰۤىِٕكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ٢١٧ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلٰۤىِٕكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٢١٨﴾
“Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) memesongkan kamu daripada agama kamu (Islam kepada kekufuran), seandainya mereka dapat melakukannya. Sesiapa antara kamu yang terpesong daripada agamanya (Islam), lalu dia mati dalam kekufuran; maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (217); Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad pada jalan Allah (menegakkan Islam), mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (218)” (Surah al-Baqarah: 217-218)
Selain itu, Allah SWT juga menjadikan secara tabii berlakunya pertembungan antara dua pihak; yang benar dengan yang salah, dan adil dengan zalim. Begitu juga, pertembungan antara ilmu yang bermanfaat dan ilmu yang merosakkan kerana iman dan akhlak menentang ilmu yang berpandukan nafsu rakus sehingga menyalahgunakan ilmu bagi merosakkan kehidupan manusia.
Hikmah sebalik berlakunya perlawanan itu adalah semata-mata bagi menyelamatkan manusia bersama Islam. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ٢٥١﴾
“Seandainya, Allah tidak menolak (kejahatan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, sudah pasti rosaklah bumi ini. Akan tetapi, Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) ke atas semesta alam.” (Surah al-Baqarah: 251)
Pertembungan itu juga merupakan satu ujian dalam kehidupan manusia sebagai makhluk berakal dan berilmu di alam dunia, sebelum masing-masing menemui kematian mengikut ajalnya dan kemudiannya dihidupkan semula di alam akhirat untuk dihisab dan diadili. Firman Allah SWT:
﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾
“Maha Suci Allah, yang di tangan-Nya itulah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)
Ayat di atas menegaskan siapakah yang lebih baik amalannya, bukan siapa yang banyak amalannya tetapi sia-sia sahaja. Tiada faedah dunia dan akhirat jika amalannya ditolak kerana tidak beriman dan tidak ikhlas. Amalan yang lebih baik itu hasil daripada petunjuk Allah SWT.
Raja England iaitu Raja Charles III pernah membuat kenyataan secara terbuka dengan memuji peranan tamadun Islam yang sepatutnya diucapkan terima kasih oleh Eropah, kerana berjaya menumpang tamadun Islam. Sehingga mereka berjaya keluar daripada kegelapan kejahilannya dan mencapai kemajuan teknologi terkini, walaupun tanpa aqidah, rohani dan akhlak Islam secara sempurna.
Kini, tamadun Barat sedang menunjukkan tanda-tanda membakar diri kerana mereka mengambil tamadun Islam dari sudut kemajuan sahaja tanpa Islamnya. Namun, sikap permusuhan terhadap Islam terus membara sejak zaman awal sehingga zaman penjajahan dan ia berterusan sehingga kini. Keadaan ini membenarkan kenyataan firman Allah SWT dalam al-Quran tersebut.
Sikap permusuhan terhadap Islam bukan kerana mencari kebenaran dan menegakkan keadilan, tetapi disebabkan hasad dengki walaupun ternyata salahnya. Sehinggakan, timbulnya fanatik perkauman yang mencipta berbagai-bagai ideologi bersama fanatik nasionalisme, cauvinisme, sama ada kiri atau kanan.
Bahkan, sehingga semuanya menolak Islam secara total dan menentang rasul akhir zaman yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam semua kitab suci yang membawa risalahnya kepada seluruh dunia. Rasul yang dikurniakan serba kemudahan yang paling canggih dan hanya memerlukan seorang rasul sahaja yang dipilih oleh Allah SWT dengan kurniaan mukjizat ilmu daripada wahyu. Firman Allah SWT:
﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ١٠٩﴾
“Sebahagian besar daripada kalangan Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat memesongkan kamu kepada kekufuran setelah kamu beriman, semata-mata kerana dengki yang (timbul) dalam diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 109)
Walaupun penganut Islam ketika mereka kuat dengan berkuasa, tidak pernah sekali-kali berdendam apabila mendapat kemenangan. Sebaliknya, tetap bersikap pemaaf, bersabar dan membawa konsep tiada paksaan dalam beragama serta adil kepada semua termasuklah bersedia menerima sesiapa sahaja dalam masyarakat majmuk.
Namun, mereka terus bermusuh dan melancarkan serangan yang bertubi-tubi terhadap Islam dan penganutnya dengan segala persenjataan dan bala tenteranya yang ganas dengan membunuh dan membakar hangus segala yang melintasinya. Sehinggakan, mereka berjaya menjajah tanah air umat Islam ketika dalam keadaan lemah, bahkan membahagikan tanah air dan rakyatnya sesama negara penjajah bagi memperhambakan rakyat penganut Islam serta merompak hasil kekayaan buminya.
Apabila mereka gagal menghapuskan Islam secara gerakan murtad dengan menukar agamanya kepada apa sahaja asalkan bukan Islam, lalu mereka mengubah caranya dengan melakukan serangan pemikiran dan kefahaman yang salah terhadap Islam. Khususnya, dengan melaksanakan konsep sekularisme yang diamalkan dalam masyarakat mereka sendiri yang terus bermasalah kerana memisahkan politik daripada agama.
Perkara tersebut dilakukan secara praktikal terhadap umat Islam yang jahil terhadap agama sendiri apabila dipecah-pecahkan ajaran Islam yang bersifat peribadi sahaja diizinkan seperti undang-undang keluarga dan lain-lain. Dalam pada itu, diserahkan kuasa agama yang terbatas dan dipecah-pecahkan itu kepada raja-raja dan pemimpin yang dijadikan bonekanya. Adapun kuasa politik mentadbir negara berada dalam genggaman kuasa penjajah itu sepenuhnya atau terus berada di bawah pengaruhnya selepas diberikan kemerdekaan.
Apabila mereka gagal mengalahkan umat Islam dengan kekerasan sehingga terpaksa memberikan kemerdekaan, mereka meninggalkan pengaruh daripada konsep sekularisme yang menjadi pangkalan baharu bagi mengekalkan kedudukan menentang Islam. Khususnya, bagi menghalang tertegaknya semula negara yang mendaulatkan Islam yang sempurna. Mereka melaksanakan apa sahaja pendekatan, sama ada secara diktator yang disokongnya atau demokrasi yang dikawalnya.
Mereka menukar strategi daripada perang bersenjata kepada perang pemikiran dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan budaya. Malah, senjata ideologi dan media dipergunakan juga.
Manakala di negara Arab dan Afrika pula dikekalkan konsep diktator secara monarki atau kerajaan republik tentera. Adapun di Asia Tengah pula, mereka mengekalkan penguasaan melalui pemerintahan kuku besi secara diktator komunis atau sosialis.
Sekiranya ada negara Islam yang diizinkan mengamalkan demokrasi, namun negara itu tetap diharamkan Islam daripada berkuasa mengambil alih kerajaannya. Hanya parti Islam yang lemah sahaja terus diizinkan berkuasa sekadar menjadi gula-gula. Adapun parti Islam yang kuat dapat memenangi pilihan raya pasti akan dijatuhkan atau dihalang dengan pelbagai cara yang tidak demokratik.
Parti Islam Masyumi yang paling kuat di Indonesia bersama kelompok Islam yang bersatu berjaya menubuhkan kerajaan pada tahun 1955 dijatuhkan kerajaannya dan diharamkan partinya pada tahun 1960. Begitu juga, selepas itu gerakan Ikhwan al-Muslimin yang berjaya di Yaman, Mesir, Sudan, Algeria dan lain-lain dirampas kuasanya oleh tentera. Namun, diizinkan konsep diktator yang kononnya ditentang oleh mereka kerana tidak demokratik, tetapi ia dihalalkan bagi menentang Islam berkuasa memerintah.
Maka, PAS tidak merasa hairan kerana mendapat tentangan daripada parti seperti DAP dan lain-lain parti, yang nyata ideologinya menentang Islam walaupun kini bertukar nadanya kepada tidak bersuara secara terang-terangan. Hal ini disebabkan mereka sudah berjaya mengadakan pasukan baharu, daripada kalangan rakan-rakan berwajah Islam yang berwalikannya. Mereka itu laksana kayu bersama mata kapak bagi menebang pokok besar, mengambil pendekatan menipu dengan segala cara, seperti melaksanakan amar ma‘ruf secara terpilih dan menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata.
Bahkan, secara nyata mereka juga bergabung dengan semua kumpulan liberal dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram. Semuanya demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan, walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam perlembagaan mengikut tafsiran yang salah oleh mereka yang buta al-Quran.
Gabungan itu juga turut diikut serta oleh kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah yang berskala besar. Termasuklah kesalahan-kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan.
Apabila PAS hanya berkuasa di peringkat negeri sahaja mengikut konsep federalisme, walaupun dengan kuasa yang sangat terbatas, namun negeri-negeri itu tetap disusahkan dengan berbagai-bagai cara, halangan dan penentangannya yang nyata dan tersembunyi. Sekalipun tindakan yang diambil itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi yang diamalkan di negara Barat sendiri yang menjadi rujukan mereka.
Tidak menghairankan juga berlaku penubuhan kerajaan di luar tabii demokrasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana PAS berjaya mendapat jumlah kerusi terbesar. Walaupun PAS telah berusaha bersama dalam Perikatan Nasional (PN) daripada pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa PAS menjadi pemimpin utama.
Di negara Arab yang kaya-raya, mereka bersedia berbelanja besar semata-mata bagi menghalang Islam daripada berdaulat, apabila sanggup mencetuskan perang saudara secara proksi di Yaman, Libya, Syria termasuk di Afrika, Afghanistan dan lain-lain negara. Peranan itu dilakukan oleh kalangan mereka yang dilatih di madrasah penjajah yang sama.
Dalam perbincangan saya dengan Prof. Dr. Abdel Latif Bouazizi, Rektor Universiti Zaitunah di Tunisia ketika lawatannya beberapa hari yang lalu, beliau menegaskan: ‘Apabila Israel, Amerika dan sekutunya mengucap tahniah kepada mereka yang berjaya menubuhkan kerajaannya mengikut perancangannya, cukuplah menjadi dalil yang nyata siapakah di sebaliknya.’
Sunnah Rasulullah SAW menetapkan bahawa janji kemenangan itu diperoleh dengan melalui tempoh kesabaran yang menjadi pengajaran. Firman Allah SWT:
﴿لَّقَدۡ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءۡيَا بِٱلۡحَقِّۖ لَتَدۡخُلُنَّ ٱلۡمَسۡجِدَ ٱلۡحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمۡ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَۖ فَعَلِمَ مَا لَمۡ تَعۡلَمُواْ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتۡحٗا قَرِيبًا٢٧﴾
“Sesungguhnya, Allah akan membuktikan kepada rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjid al-Haram, insya-Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka, Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.” (Surah al-Fath: 27)
Sewaktu kedatangan Rasulullah SAW ke Makkah pada peringkat awalnya selepas mendapat mimpi yang benar itu, tiba-tiba Baginda dihalang sehingga terpaksa membatalkan umrahnya setelah diadakan Perjanjian Hudaibiyyah. Selepas beberapa tahun kemudian, ternyata berlaku pembebasan Makkah daripada jahiliah mengikut janji Allah SWT.
Allah SWT membawa cerita Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang dijanjikan kemenangan yang pasti berlaku apabila dipenuhi dengan syarat-syaratnya, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيۡتَ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةٗ وَأَمۡوَٰلٗا فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَۖ رَبَّنَا ٱطۡمِسۡ عَلَىٰٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ وَٱشۡدُدۡ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُواْ حَتَّىٰ يَرَوُاْ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِيمَ٨٨ قَالَ قَدۡ أُجِيبَت دَّعۡوَتُكُمَا فَٱسۡتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ٨٩﴾
“Musa berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya, Engkau telah memberikan perhiasan serta harta kekayaan kepada Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya dalam kehidupan dunia. Wahai Tuhan Kami! Akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih.’ (88); Allah berfirman: ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonan kamu berdua, sebab itu tetaplah kamu berdua beristiqamah (pada jalan yang lurus) dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’ (89)” (Surah Yunus: 88-89)
Para ulama’ meriwayatkan bahawa Firaun dan bala tenteranya dibinasakan selepas berpuluh tahun apabila syarat ditunaikan. Adapun negaranya di Palestin tertegak selepas 40 tahun kewafatan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Setelah perjuangan nabi-nabi itu disambung oleh Nabi Yusha‘ bin Nun AS.
Syaratnya ialah beristiqamah dan jangan terpengaruh dengan mereka yang tidak mengerti (tidak berilmu atau bodoh). Kini, golongan tersebut yang paling ramai menggunakan media sosial, melainkan mereka yang beriman. Firman Allah SWT:
﴿هَلۡ أُنَبِّئُكُمۡ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ ٱلشَّيَٰطِينُ٢٢١ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٖ٢٢٢ يُلۡقُونَ ٱلسَّمۡعَ وَأَكۡثَرُهُمۡ كَٰذِبُونَ٢٢٣ وَٱلشُّعَرَآءُ يَتَّبِعُهُمُ ٱلۡغَاوُۥنَ٢٢٤ أَلَمۡ تَرَ أَنَّهُمۡ فِي كُلِّ وَادٖ يَهِيمُونَ٢٢٥ وَأَنَّهُمۡ يَقُولُونَ مَا لَا يَفۡعَلُونَ٢٢٦ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَذَكَرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرٗا وَٱنتَصَرُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا ظُلِمُواْۗ وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ٢٢٧﴾
“Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun? (221); Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi yang banyak dosa. (222); Mereka menghadapkan pendengaran (kepada syaitan) itu, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta. (223); Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. (224); Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah. (225); Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(-nya)? (226); Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan banyak menyebut-nyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. (227)” (Surah al-Syu‘ara’: 221-227)
Maka, PAS bukanlah rumah tumpangan sementara waktu, selagi tetap beristiqamah dengan prinsip Islam yang didukungnya. Mereka yang tidak beristiqamah pasti akan melompat keluar atau dicampak keluar daripadanya.
Firman Allah SWT:
﴿لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ٤٢﴾
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu. Akan tetapi, tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ‘Jikalau kami sanggup, tentulah kami berangkat bersama-samamu.’ Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” (Surah al-Tawbah: 42)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Jumada al-Akhirah 1444 / 9 Januari 2023