Home Melaka

Rencana | Deja vu Covid-19 dan pelancong China

92
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PADA waktu ini China baru sahaja membuka pintu negaranya kepada dunia luar selepas bencana Covid-19. Selaras dengan itu juga pelancong-pelancong negara itu juga akan mula membanjiri negara-negara lain untuk melancong.

Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan berita separuh daripada penumpang dua buah pesawat membawa pelancong-pelancong China yang mendarat di Milan, Itali dikatakan positif Covid-19. Dan kebanyakan mereka yang positif juga tidak menunjukkan sebarang simptom seperti demam!

Bimbang dengan penularan ini, ramai rakyat Malaysia mula bersuara agar Kerajaan PH-BN bertindak lebih tegas dengan menangguhkan dahulu kemasukan pelancong-pelancong dari China ini.

Walau pun hakikatnya jangkitan wabak ini bersifat global namun ianya lebih ketara di China dengan banyak varian dan sub-varian baru selain ia negara asal mulanya wabak ini.

Namun sehingga ke saat ini belum ada tanda-tanda bahawa kerajaan PH-BN akur dengan desakan rakyat agar kemasukan pelancong-pelancong dari China ini ditangguhkan dahulu.

Apa yang menarik, kebanyakan reaksi yang ditunjukkan oleh kerajaan PH-BN pada waktu ini saling tak tumpah dengan reaksi kerajaan PH pada awal tahun 2020 semasa Covid-19 mula melanda. Bagaikan satu ‘deja vu’.

Berdasarkan satu laporan media bertarikh 22 Januari 2020, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya kerajaan PH pada ketika itu, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pelancong, khususnya dari China tidak seharusnya menjadi mangsa diskriminasi walaupun negara itu sedang berhadapan penularan wabak Covid-19.

Mohamaddin pada masa itu menjelaskan bahawa pelancong yang masuk ke negara ini akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang.

Ia hampir senada dengan kenyataan Menteri Pelancongan pada masa kini, Tiong King Sing dalam hantaran di Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina dan telah dilaporkan oleh beberapa media massa.

Sing dalam hantarannya itu berharap agar orang ramai terutama warganet supaya berhati-hati dalam memberi komen di media sosial berkaitan isu ketibaan pelancong China susulan pembukaan semula sempadan negara itu bermula 8 Januari ini. Katanya, ia bertujuan supaya jalinan persahabatan antara Malaysia dan China tidak dirosakkan.

Imbas kembali pada 25 Januari 2020, dalam satu laporan media, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor disahkan positif Covid-19. Antara kes awal yang berlaku dibawa pelancong China.

Menurut laporan itu Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.

Media pada 31 Januari 2020 pula melaporkan Dr Dzulkefly berkata kerajaan tidak menggalakkan tetapi tidak pula menyekat kedatangan pelancong China. Tambah beliau tindakan akan diambil sekiranya keadaan mendesak.

Begitu lambatnya kerajaan PH ketika itu bertindak, sehingga pada 20 Februari 2020 barulah kabinet membincangkan tentang cadangan melarang kemasukan pelancong daripada China.

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak Edisi bertarikh 6 Januari 2023

 

Sewajarnya kerajaan Malaysia pada waktu ini menangguhkan dahulu kemasukan pelancong daripada China. Lebih baik kita melihat dahulu kesan-kesannya pada negara-negara yang memberi kebenaran sebelum membuat keputusan bagi negara kita ini.

Sikap kerajaan PH pada awal tahun 2020 lepas yang dilihat seperti terlalu yakin bahawa mereka boleh menghadapi penularan wabak ini tidak seharusnya berulang.

Terkini kerajaan menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara, termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA), manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

Kita sendiri telah melihat bagaimana sebelum ini SOP yang disarankan oleh kerajaan yang kerap berubah-ubah kerana berlaku penambahan dalam variansnya. Varians yang berbeza datang dengan gejala berbeza. Sudah tentu perubahan dalam variannya menghasilkan sesuatu yang baru.

Sebagai contoh, dalam keadaan kita menekankan untuk mengenalpasti siapa yang demam di pintu masuk negara sebagai tanda seseorang itu dijangkiti, bagaimana halnya dengan seseorang yang tidak bergejala demam juga boleh disahkan Covid-19?

Apa yang berlaku pada awal tahun 2020 sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita betapa apabila kita terlalu menginginkan hasil daripada pelancongan atas alasan kepentingan ekonomi akhirnya itulah yang merosakkan semula ekonomi negara apabila kita terpaksa menutup aktiviti ekonomi selain berbelanja besar untuk kos perubatan rakyat.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH