Minda Presiden PAS
[Bil: 70 / 2022]
[Bil: 70 / 2022]
SURAT TERBUKA KEPADA JEMAAH HAJI DAN UMRAH YANG TIDAK MENGUNDI
Tulisan ini ditujukan kepada mereka yang tidak mengundi, khususnya kerana melaksanakan haji dan umrah, termasuk juga para peniaganya. Bacalah firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ٣٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya bila dikatakan kepada kamu: ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah (memenangkan Islam),’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu? Adakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal, keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38); Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang (meninggikan Islam), nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)
Islam itu dilaksanakan kewajipannya secara fiqh (kefahaman yang betul) pada tiap-tiap rukun, cabang hukum dan amalannya. Termasuklah juga cara pelaksanaannya yang mengikut Fiqh al-Aulawiyyat (mendahulukan keutamaan).
Perkara ini sangat penting supaya ketinggian dan kemurnian Islam wajib dipelihara dengan baik, adapun pelaksanaannya pula dilakukan dengan istiqamah dan teratur tanpa terpesong ke kiri mahupun ke kanan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣﴾
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah, diperintahkan oleh Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)
Rasulullah SAW dan para sahabat generasi awal merupakan teladan yang wajib diikuti, khususnya dalam melaksanakan petunjuk al-Quran secara amali dengan betul, berilmu dan penuh kefahaman. Antaranya, mendahulukan asas yang memelihara agama yang mulia wajib dipertahankan lebih dahulu berbanding perkara yang lain.
Apabila Islam dalam keadaan bahaya, maka hukum jihad yang asalnya fardu kifayah bertukar menjadi fardu ‘ain dan hendaklah diutamakan. Sehinggakan, para huffaz (penghafaz al-Quran) dalam kalangan para sahabat ramai yang gugur syahid, apabila berlaku peristiwa riddah (murtad) yang mengepung Islam ketika wafatnya Rasulullah SAW.
Khalifah Abu Bakar RA mengarahkan supaya dikumpulkan al-Quran secara bertulis kerana ingin memeliharanya secara tulisan, kerana bimbang akan kehilangannya. Keadaan ini sekali gus menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja membaca al-Quran, bahkan menegakkannya dan mempertahankannya dengan nyawa dan harta, dan ia menjadi petunjuk kepada cara hidup manusia bagi keselamatan dunia dan akhirat, serta melangsungkan tugas dakwah dan meninggikannya hingga berkuasa dan bernegara yang mempunyai daulat.
Almarhum Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadawi RH, ulama’ besar dari India menegaskan:
“Kini, umat Islam menghadapi zaman Riddah tanpa Abu Bakar lagi, akibat serangan pemikiran zaman penjajah yang menjatuhkan kerajaan Islam yang berdaulat melindungi agama Islam, dakwah dan umatnya.”
Justeru, perjuangan mengembalikan semula kuasa Islam wajib diutamakan. Inilah pendekatan para anbiya’ AS yang dinyatakan ceritanya dalam al-Quran.
Ramai para sahabat terkemuka dikuburkan di luar Makkah dan Madinah di seluruh pelosok dunia kerana berjuang menegakkan Islam dan mempertahankannya daripada musuh. Hanya segelintir sahaja yang dikuburkan di dua tanah suci itu.
Ketika Islam mula diancam, Imam ‘Abdullah bin al-Mubarak RH (Amir al-Mu’minin dalam ilmu hadis) menulis surat kepada sahabatnya Imam Fudhail bin ‘Iyadh RH yang berada di Makkah:
يَا عَابِدَ الحَرَمِيْنِ لَوْ أَبْصَرْتَنَا … لَعَلِمْتَ أَنَّكَ فِي العِبَادَةِ تَلْعَبُ.
“Wahai orang yang sedang beribadat di dua Tanah Haram (Makkah dan Madinah), ketahuilah engkau hanya bermain-main dalam ibadat itu.”
مَنْ كَانَ يَخْضِبُ خَدَّهُ بِدُمُوْعِهِ … فَنُحُوْرُنَا بِدِمَائِنَا تَتَخَضَّبُ.
“Orang yang pipinya berlumuran air mata khusyuk beribadat. Ketahuilah bahawa leher kami berlumuran darah berjuang.”
أَوْ كَانَ يُتْعِبُ خَيْلَهُ فِي بَاطِلٍ … فَخُيُوْلُنَا يَوْمَ الصَّبِيْحَةِ تَتْعَبُ.
“Orang yang kuda kenderaannya penat dalam kebatilan. Ketahuilah bahawa kuda yang menjadi kenderaan kami sejak awal pagi penat di medan perjuangan.”
Imam Fudhail RH menangis dan berkata:
صَدَق أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ.
“Sahabatku (Abu ‘Abdul Rahman) berkata yang benar.”
Lalu beliau menegaskan kepada pembawa surat supaya menulis sabda Rasulullah SAW:
“Kamu tidak boleh mencapai kelebihan orang yang keluar mempertahankan Islam dan meninggikannya kecuali kalau kamu sembahyang tanpa tidur dan berpuasa tanpa berbuka selama lamanya.”
Ada pula golongan tertentu yang melemparkan tuduhan bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam adalah semata-mata kerana mahu mendapat pangkat dan kedudukan yang lebih dalam kehidupan dunia. Inilah tuduhan yang pernah dilemparkan kepada para anbiya’ pada zaman dahulu oleh kumpulan jahiliah, sebagaimana firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلَا تَتَّقُونَ٢٣ فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَنْزَلَ مَلَائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آبَائِنَا الْأَوَّلِينَ٢٤﴾
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata: ‘Wahai kaumku! Sembahlah Allah, (kerana) sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Maka, mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?’ (23); Maka, pemuka-pemuka orang yang kafir antara kaumnya menjawab: ‘Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutuskan para malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan seperti) ini pada masa nenek moyang kami dahulu.’ (24)” (Surah al-Mu’minun: 23-24)
Anggapan yang sama dikatakan terhadap Rasulullah SAW dan kumpulan Islam dalam kalangan umat yang menyambung perjuangannya yang tetap wujud sehingga akhir zaman. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤﴾
“Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah perkara daripada yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran: 104)
Dan sabda Rasulullah SAW:
لَا تَزَالُ مِنْ أُمَّتِي أُمَّةٌ قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ وَلَا مَنْ خَالَفَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ.
“Masih ada dalam kalangan umatku kumpulan yang bangkit menunaikan perintah Allah (menegakkan Islam) yang tidak boleh dimudaratkan oleh sesiapa yang menentangnya atau mengecewakannya, sehingga datangnya ketentuan Allah.” (Riwayat al-Bukhari no. 3641 dan Muslim no. 1920)
Kumpulan penentang juga tetap ada mengikut ketetapan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا فِيهَا وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنْفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ١٢٣ وَإِذَا جَاءَتْهُمْ آيَةٌ قَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ حَتَّى نُؤْتَى مِثْلَ مَا أُوتِيَ رُسُلُ اللَّهِ اللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ١٢٤﴾
“Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan sesiapa pun melainkan diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. (123); Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata: ‘Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami wahyu yang serupa dengan apa yang telah diberikan kepada utusan-utusan Allah (para Rasul).’ Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan. Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya. (124)” (Surah al-An‘am: 123-124)
Tugas Rasulullah SAW pada akhir zaman selepas kewafatan Baginda adalah dipikul oleh kumpulan Islam yang istiqamah dengan memenuhi segala syarat dan sifat yang nyata dalam al-Quran.
Saya dihadiahkan oleh satu kumpulan pelampau sebuah kitab baharu yang dikarang dalam bahasa Arab, dengan tujuan bagi mengharamkan pilihan raya dan mengundi. Alasan mereka adalah demokrasi Barat bukan daripada Islam, dan amalannya yang tidak didapati pada zaman Rasulullah SAW. Hujah sedemikian adalah salah, menggambarkan mereka buta agama dan terpesong daripada sifat ajaran Islam yang sempurna dan mampu sepanjang zaman mengikut pelaksanaan generasi awal khususnya para sahabat RA.
Saya juga pernah menjelaskan kepada mereka bahawa kamu memakai visa haji dan umrah serta penggunaan pasport pada zaman ini adalah amalan Barat, termasuk melaksanakan pengurusan haji dan umrah secara perniagaan dan pentadbiran terkini juga tiada pada zaman Rasulullah SAW. Semuanya adalah tajdid dan islah (pembaharuan Siyasah Syar‘yyiah) yang dilakukan sejak zaman para sahabat Khulafa’ al-Rasyidin dan Tabi‘in selepasnya mengikut konsep Islam dan banyak ijtihad para ulama’ muktabar yang menjadi rujukan.
Mereka melakukan pemilihan Khalifah Abu Bakar RA, ‘Umar RA, ‘Uthman RA dan ‘Ali RA dengan pendekatan yang berbeza kerana perubahan jumlah penduduk dan penyusunan masyarakat yang sudah berubah. Termasuk adanya masyarakat majmuk daripada kalangan berbagai-bagai bangsa dan agama, serta keluasan wilayah Islam pada zaman mutakhir.
Terdapat banyak penulisan para ulama’ yang kaya dengan ilmu pemerintahan negara mengikut Islam telah dikaji oleh pihak ilmuwan Barat daripada kalangan para orientalis yang meniru Islam tanpa menganut aqidahnya dan memisahkan politik daripada agama yang telah merosakkan mereka. Fahaman sesat memisahkan politik daripada agama dibawa masuk oleh penjajah ke dalam pemikiran umat Islam kerana kejahilan mereka terhadap agamanya sendiri.
Islam mewajibkan kepimpinan yang berintegriti yang disebut ‘adalah (عدالة) , beraqidah, beriman, di samping berilmu dan berakhlak mengikut acuannya.
Para ulama’ rabbaniyyin (yang dekat kepada Allah) dan pewaris para anbiya’, bahkan termasuk yang mendalami lapangan tasawuf semata-mata juga tidak meninggalkan kewajipan menegakkan Islam seperti Imam al-Ghazali RH, Abdul Qadir al-Jilani RH dan lain-lain. Bahkan, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani ulama’ Melayu yang mengarang kitab tasawuf Hidayah al-Salikin yang terkenal dalam tulisan Jawi berjuang sehingga mati syahid di tanah Fatani.
Syeikh Daud al-Fatani yang mengarang risalah khusus berkenaan pentingnya pemerintahan negara dilampirkan bersama kitab Munyatul Musolli yang terkenal, bukan sahaja dinyatakan berkenaan perkara solat. Para ulama’ yang bermukim di Makkah pada zaman penjajahan telah menubuhkan jemaah Islam yang berpusat di Pulau Penyengat, Riau bagi menjalankan gerakan menentang penjajah pada zamannya. Di samping itu, mereka juga menyedarkan para jemaah haji yang sentiasa berkunjung ke Makkah supaya menunaikan kewajipan menegakkan Islam di tanah air masing-masing dengan menentang penjajah.
Secara halus, penjajah terpaksa mengundurkan diri memberikan kemerdekaan mengikut acuannya kerana terpaksa menyerah kepada tentangan yang bertubi-tubi daripada umat Islam, apabila umat Islam tidak menyerah kalah.
Penjajah meninggalkan tunggul yang dipacak di tanah air umat Islam dan racun berbisa ditanam ke dalam diri umat Islam dalam kalangan mereka yang lemah dan rapuh keimanannya kerana diselaputi kejahilan terhadap Islam yang masih dianuti dan dicintai, sehingga ia gagal dicabut oleh penjajah. Peranan meneruskan agenda penjajah dibantu oleh para pemimpin yang dididik oleh mereka dan ulama’ jahat yang ada sepanjang zaman sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Imam al-Ghazali RH.
Orientalis Belanda, Christiaan Snouck Hurgronje menegaskan pentingnya dihalang penubuhan semula negara Islam yang bercirikan Islam itu yang mempunyai kuasa politik. Maka, para ulama’ dan pemimpin yang membawa alirannya hendaklah dihalang juga.
Pendekatan memisahkan politik daripada agama adalah bentuk kemerdekaan yang diberikan kepada umat Islam dan negaranya. Maka, konsep sekularisme disuburkan ke dalam pemikiran penganut Islam yang jahil agama, walaupun mereka sayang kepadanya dan kuat berpegang dengan amalannya yang bersifat ibadat sahaja. Pada masa yang sama, mereka merosakkan agama dan menyerah diri kepada musuh Islam.
Islam mendahulukan pendekatan damai dalam pergerakannya kepada seluruh manusia. Maka, demokrasi Barat memberikan kebebasan bersuara secara damai tanpa sebarang halangan. Inilah peluang yang diputuskan oleh para ulama’ dan pemimpin kumpulan Islam yang beristiqamah melangsungkan perjuangan Islam, walaupun banyak halangan dan tipu daya yang menjadi amalan musuh Islam yang mesti dihadapi.
Pendekatan damai melalui konsep demokrasi wajib diambil peluang oleh umat Islam secara fardu ‘ain ke atas tiap-tiap orang Islam dalam hukum jihad menegakkan Islam di tempat masing-masing. Hal ini demikian kerana, pilihan raya dan mengundi merupakan jalan bagi mendapatkan kuasa pemerintahan semula kepada Islam, maka ia menjadi wajib hukumnya. Ulama’ Usul Fiqh menegaskan satu kaedah:
مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ.
“Apa-apa perkara yang tidak dapat disempurnakan perkara yang wajib, melainkan dengannya maka ia menjadi wajib.” (Al-Ghazali dalam al-Mustasfa, ms. 217)
Kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah untuk mara mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air kita ini dengan menyokong DAP dan kumpulannya yang menjadi wadah perjuangannya, walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri.
Malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah, malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.
Keadaan ini dibimbangkan mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:
وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ.
“Berundur ketika musuh mara menentang Islam.”
Perkara ini adalah mengikut firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا زَحْفًا فَلَا تُوَلُّوهُمُ الْأَدْبَارَ١٥ وَمَنْ يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍ دُبُرَهُ إِلَّا مُتَحَرِّفًا لِقِتَالٍ أَوْ مُتَحَيِّزًا إِلَى فِئَةٍ فَقَدْ بَاءَ بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَمَأْوَاهُ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ١٦﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang mara menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur). (15); Sesiapa yang membelakangi mereka (mundur) pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (menyiasat dalam) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan daripada Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahanam. Dan amat buruklah tempat kembalinya. (16)” (Surah al-Anfal: 15-16)
Jika tugas mengundi sebagai salah satu cara yang damai pun tidak ditunaikan kewajipannya bagi memenangkan dan mempertahankan Islam serta bukannya terpaksa berperang, maka akibatnya adalah lebih besar dan lebih parah.
Syabas! Kepada anak muda yang tampil ke hadapan walaupun ada yang jahil agama, masih mentah umurnya, namun mereka mendapat hidayah Allah SWT, matang akalnya, sayangkan agama dan bangsa.
Firman Allah SWT:
﴿…إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى١٣﴾
“…Mereka ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.” (Surah al-Kahf: 13)
Benar-benar kita diuji Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢﴾
“Maha Suci Allah pada tangan-Nya segala kerajaan, dan Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dialah Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)
Berkata Muhammad bin ‘Ajlan RH:
وَلَمْ يَقُلْ أَكْثَرُ عَمَلًا.
“Allah tidak berkata; yang paling banyak amalannya (sebenarnya yang paling baik amalannya. Namun, Allah Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun dosa mereka yang bertaubat).”
Firman Allah SWT:
﴿أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ١٩ الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ٢٠﴾
“Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjid al-Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (19); Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (20)” (Surah al-Tawbah: 19-20)
Apalah guna Iblis dan Ahli Kitab yang banyak ibadatnya dan alim, tetapi tidak mendapat hidayah Allah SWT. Abu Lahab dan Abu Jahal yang lahir di Makkah, banyak khidmatnya kepada jemaah haji dan umrah juga tidak mendapat hidayah-Nya.
اللَّهُمَّ إِنِّي قَدْ بَلَّغْتُ، اللَّهُمَّ اشْهَدْ.
“Ya Allah ya Tuhanku! Aku telah menyampaikan. Ya Allah ya Tuhanku! Saksikanlah bahawa aku telah menunaikan kewajipanku.”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 26 Jumadal Ula 1444 / 21 Disember 2022