KUALA TERENGGANU – Pelajar yang keciciran dalam bidang pendidikan perlu diberi perhatian dan dibantu dengan bersungguh-sungguh.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, berdasarkan dapatan data dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, faktor utama berlakunya keciciran ini adalah disebabkan isu kemiskinan keluarga.
“Pelajar mencari pekerjaan untuk menyara diri sendiri dan keluarga, selain murid hilang minat untuk belajar.
“Ada juga dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin serta ketidakhadiran ke sekolah dalam tempoh yang panjang.
“Secara peribadi, sejak kebelakangan ini saya juga kerap menerima aduan tentang anak-anak pelajar kita yang tercicir dalam pelajaran dan membuat keputusan untuk berhenti sekolah di usia yang sangat muda,” katanya.
Zuraida mengulas perkara tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. semalam.
Beliau berharap agar pelajar yang tercicir ini dibantu sehingga dapat menyambung kembali pelajarannya yang tergendala, bukan sekadar selesai hanya dengan membuat laporan semata-mata.
Antara lainnya, pemantauan yang berterusan perlu dilakukan kepada para pelajar tersebut.
“Sentiasa bertanya khabar dan mengetahui keadaan semasanya, kita tidak mahu segala usaha ini berakhir dengan sia-sia.
“Permasalahan ini tidak seharusnya dibebankan kepada guru dan pihak sekolah semata-mata.
“Saya cukup yakin, dengan kerjasama yang erat antara pihak JPKK, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), NGO-NGO Kebajikan dan masyarakat setempat insyaAllah mampu menyelesaikan isu ini dengan baik,” akhirinya.