Oleh : Nur Syarifah Ariffin
7 Oktober 2022
TAWAU: PAS Tawau bersedia melakukan gerak kerja menaikkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kerjasama ini adalah komponen bagi membina rakyat yang sejahtera.
Menurut Yang Dipertua PAS Tawau, Mohammad Hussain, ini bagi menjaga kestabilan kerajaan yang bersih sebagaimana PAS pusat harapkan dengan mengamalkan budaya politik yang matang dan sejahtera.
“Rakyat kena tahu menilai setiap calon serta parti berdasarkan fakta dan kebenaran bersama bukti yang ada.
“Oleh itu, kita bekerjasama dengan GRS ini kerana tahu pencapaian yang telah di lakukan sepanjang mereka memimpin kerajaan negeri sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.68 Apas, Datuk Haji Nizam DSP Abu Bakar Titingan pula, GRS-BN Parlimen Tawau telah melakukan mesyuarat dan kesepakatan untuk penyelarasan jentera yang terdiri dari parti-parti GRS iaitu BERSATU, PBS ,STAR ,USNO dan SAPP.
“Dan kita juga telah bekerjasama dengan PAS dan parti yang ada dalam BN iaitu UMNO, MIC dan MCA.
“Kita telah sepakat untuk bekerjasama dan menyediakan jentera bagi membantu calon parlimen Tawau yang mewakili GRS, Loh Su Fui dan berusaha mencapai kemenangan bagi memastikan kerajaan yang kita ingin rangka agar kebajikan rakyat terjaga,” ujarnya ketika ditemui semasa penamaan calon di Dewan Masyarakat Tawau, pada Sabtu.
Beliau yang juga pembantu Menteri kewangan Sabah menyer anak muda yang layak mengundi agar melaksanakan tanggungjawab mereka pada 19 November nanti.
Ini ujarnya bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri Sabah yang telah kita pimpin sebelum ini terjaga dan kita berusaha lagi mencapai manifesto yang telah dirangka.
Manakala Pengarah Pilihan Raya PAS Tawau Suhazman Sudirman pula berkata, mereka menyahut seruan pimpinan pusat dan Sabah.
“PAS Tawau berjiwa besar dan bersiap sedia bersama dengan jenteranya untuk membantu calon GRS-BN sebagaimana arahan pimpinan parti kita.
“Ini kerana kita tahu pimpinan tahu apa yang terbaik bagi merangka kerajaan yang bersih dan stabil,”katanya.
Turut hadir ke program itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Tawau, Mandina Ladale bersama jentera lain bagi menunjukkan sokongan dan kerjasama dalam membantu kemenangan GRS-BN.