31/10/2022 | Hafiz Green Mart
LUMUT : Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Perak (TPJ2), Tuan Haji Rosli bin Abdul Rahman telah meluangkan masa merasmikan bangunan baru PASTI Al-Hilal, Batu 14 Lekir di sini, pagi semalam.
Ketibaan TPJ2 diiringi oleh Ketua Cawangan Batu 14 Lekir, Tuan Haji Saufi bin Mustaman turut dihadiri oleh Abdul Basir bin Muhammad yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Lumut merangkap Pengerusi PASTI Lumut.
Di dalam majlis tersebut, Hj. Rosli turut menyempurnakan gimik perasmian dengan menggunting banting serta menandatanganinya yang turut disaksikan oleh kesemua tetamu jemputan, pihak waris, murid-murid PASTI, guru-guru PASTI dan masyarakat Batu 15 Lekir khususnya yang begitu teruja dengan majlis tersebut.
Tuan Haji turut mengajak para hadirin untuk mengenangkan kembali jasa orang-orang lama dengan idea penubuhan bangunan PASTI ini telah dimulakan oleh orang yang telah meninggalkan kita selamanya seperti Almarhum Tn. Hj. Fazinal.
Selain itu, TPJ2 yang juga Yang Dipertua PAS Lumut turut menyampaikan ucapan ringkas lagi jelas di hadapan tetamu yang hadir. Antara intipati penting dalam ucapan beliau adalah mengenai kepentingan didikan agama seawal dari kanak-kanak serta tanggungjawab ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak-anak.
Pada majlis tersebut juga, TPJ2 telah melihat bangunan baru PASTI yang menelan belanja hampir RM100,000 hasil sumbangan orang ramai dan beberapa individu penting serta melihat kemeriahan kanak-kanak menyertai pertandingan mewarna.
Dengan perpindahan ke bangunan baru ini, kesemua guru dan murid-murid 4, 5 dan 6 tahun dapat belajar dalam suasana yang lebih baik, kondusif, selesa dan serba lengkap berbanding bangunan yang terdahulu.