Home Berita PAS Terengganu

Sultan Mizan mahu rakyat contohi sikap Rasulullah hadapi kesulitan

44
SHARE

KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu rakyat negeri ini menjadikan Rasulullah sebagai contoh yang sentiasa berlapang dada ketika menghadapi sebarang kesulitan dalam kehidupan ini.

Titah baginda, ujian yang menimpa adalah pemangkin untuk terus mencapai kejayaan dalam hidup.

“Beta yakin dan percaya, rakyat jelata daripada kalangan umat Islam di negeri ini akan menjadikan Sambutan Maulidur Rasul sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha dengan lebih kuat bagi mencapai kejayaan hidup berpandukan kepada risalah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Kita juga sepatutnya mengambil iktibar dari keteguhan hati Baginda SAW dalam mengharungi dugaan dan ujian yang dihadapi, sesunggunya mencintai dan mengasihi serta menghayati sirah Rasulullah merupakan satu kewajipan ke arah mendidik jiwa dan pembinaan sahsiah diri kita sebagai umat Islam.

“Justeru, Beta suka mencadangkan agar di sepanjang bulan Rabiulawal ini, institusi masjid dan surau dapat mengadakan program dan aktiviti yang menjurus kepada menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada Baginda dan memperbanyakkan alunan bacaan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di samping mewujudkan kelas pengajian berzanji dan marhaban di masjid dan surau dalam Terengganu,” titah Sultan Mizan.

Baginda bertitah demikian, ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda mencemar duli merasmikan majlis tersebut turut diringi, DYMM Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Keberangkatan tiba baginda turut disambut, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam titahnya, Sultan Mizan turut menitahkan agar rakyat di negeri berusaha membentuk keluarga yang harmoni sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah.

“Dengan mencontohi Rasulullah dalam membina sebuah keluarga yang terbaik, nescaya seluruh rakyat dalam negeri ini khususnya dan negara secara amnya akan menjadi satu masyarakat yang harmoni dan membentuk sebuah negara yang makmur dari pelbagai sudut, baik ekonomi pendidikan dan lain-lain lagi,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Mizan turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang perarakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul menerusi tujuh kategori yang dipertandingkan disertai 78 kontinjen membabitkan 2340 peserta.

Bagi Kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Kerajaan negeri dimenangi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Kerajaan dan Badan Berkenan Persekutuan dimenangi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, manakala bagi kategori Sekolah Menenangah/IPT dan IPTS dimenangi oleh SMK Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu.

Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu INC) telah memenangi kategori perarakan syarikat swasta, untuk juara kategori Pasukan Beruniform pula telah dimenangi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) negeri Terengganu, untuk kategori NGO pula Masjid Al-Hijrah telah muncul juara, manakala untuk kategori terakhir JPKK Mukim Bukit Besar (Ladang) telah dinobatkan juara dengan masing-masing menerima wang tunai RM3,000.