Home Berita PAS Terengganu

Melunaskan wasiat Bob dalam ikrar persahabatan

38
SHARE

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Melunaskan sebuah wasiat …tergiang- giang suara separa serak arwah, ” enta tak payah kuliah atau kemana- mana pgram hari kematian ana..bantu uruskan jenazah ana” ..pesanan itu aku genggam erat. Kelmarin, usai khutbah di masjid Tok Jamal Wakaf Mempelam ,aku mampir ke gedung Maidin Gong Badak kerana ingin mengalas perut dengan adikku,Huzaifah , isterinya serta Imran ( pembantuku). Kami menukar lokasi awal, Kedai sup pekan batu Enam merumbu dengan pelanggan maka kami padamkan niat untuk makan di kedai legen itu. Mungkin sebahagian pengunjung berniat ke pra himpunan Teguh Pertahan yang sedang berlangsung .

Di Maidin Gong Badak yang serba lengkap itu,kami memilih kedai Ayam Penyet. Sedang menanti makanan dihidang, aku menerima terjahan bertubi ” benarkah Abang Bob telah meninggal dunia” . Aku terpanar seketika. Semoga hanya khabar angin yang sentiasa berlaku pada selebriti atau sosok ilmuan sebelum ini.Semua grup wasap berbincang akan cerita Bob dan grup LESTARI yang paling dekat dengan arwah mengesahkan bahawa abang Bob telah pergi selamanya.

Aku membatalkan pgrm kuliah dan keinginan untuk bersama dua murabbi di pra himpunan Teguh Pertahan di Stadium Gong Badak. Berdesut di aspal untuk segera tiba ke KB dengan Imran menyetir kenderaan dengan trafik yang agak sibuk kerana Jumaat adalah hari cuti di Terengganu ” singgah jap di an Nur Setiu ,bawa anak- anak Abang Bob balik ke KB ” arahku pada pembantu, puas aku godek telefon mudir,tapi tak berangkat. Line telefon memang teruk di an nur Setiu,aku memujuk hati.

Tiba di an Nur Setiu yang juga bekas tapak rumah arwah bapaku, ” Anak- anak Abang Bob..Pok Awang dah ambik balik ke rumah dia” jawab seorang pelajar tahfiz separa gagap..oh Awang memang pembantu yang cekap. Rasa manusiawi Awang memang melangit, tahfiz an nur adalah segalanya bagi Awang,anak jati Kg Desa Jaya, Sungai Tong.

Aku berdesut ke an Nur Besut untuk mengambil Ustaz Taufik Aliph , AJK LESTARI yang ingin turut memberikan penghormatan terakhir pada arwah. Imran Rosdi memulas stereng tanpa banyak soal kerana bulan lepas dia membawa Yantzen ke rumah Abg Bob di Kubang Kerian. Aku tak mampu melelapkan mata, tergiang suara arwah dikuping telinga. Persahabatan kami panjang , usik mengusik , bahan membahan itulah resepi keakraban. Aku tak mengambil pot jika abg Bob meluncurkan kata hatinya, antaranya dua bulan lepas isu cuti raya korban untuk pelajar- pelajar tahfiz an nur Setiu, dia tak setuju dengan keputusanku mengikat cuti pelajar pada hariraya pertama. Kami berbalas pandangan dan berbeda pandangan tak memadamkan nikmat persahabatan dengan arwah.

Tiba di rumah arwah,pintu ditutup rapat, kereta merc lama yang dipandu Umar juga tak kelihatan. Sepi dan suram. ” terus ke masjid Pulau Ustaz..tunggu jenazah dimandikan di hospital” suara Awang dihujung telefon. Kami ke masjid at Taqwa mukim Pulau, hujan melebat usai solat maghrib seperti hujan yang membasahi hati kami. Sedang aku melayan fikiran, muncul Rayyan dan Lukman ( anak- anak arwah) , ” lambat lagi urusan mandi jenazah di hospital ” aku bertanya dua remaja dengan guratan wajah sedih itu. ” dah smpai kat luar tu van jenazah abah” kata Rayyan lirih. Anak remaja ini harapan besar abang Bob untuk menjadi ulama dan ilmuan Islam, dia juga memimpin solat jenazah bapanya.

Kami mengusung tandu jenazah ke dalam masjid,hujan masih lebat menampar keras atap masjid yang mula didatangi saudara mara serta sahabat- sahabat abang Bob. Aku mengumam doa, terasa kosong jiwa dan kehilangan yang sukar diungkapkan. Pihak masjid meneruskan kuliah maghrib dalam lebat hujan pra musim tengkujuh, aku ke tandas kerana airmata tak mampu diseka. Airmata lelaki sangat mahal, sangkuriang menyembunyikan titik kelemahan sifat wanita namun Rasulullah SAW juga bergenang airmata kesedihan apabila kesedihan. Ya,airmata yang tumpah adalah manifestasi kecintaan dan kerinduan, bukan bermakna kita lemah.

Usai solat berjemaah Isyak, diteruskan dengan solat jenazah dengan kehadiran empat saf . Mursyidul Am ,Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin , Ustaz Tantawi, Dr Rosdi, Ustaz Mohamad Yahya dan lain lain turut hadir memberikan penghormatan . Orang baik akan disayangi orang,sifirnya mudah!. Manfaatkan hidup kita untuk memberi manfaat kepada insan lain. Bob menepati piawai ini,dia tahu harga dan nilai kehidupan.

Dalam persahabatan aku dan dia,hanya sekali aku melihat dia menangis seperti anak kecil ,iaitu pada malam arwah Adam ( anak Bob yang paling rapat dengannya ) meninggal dunia dengan mengejut dirumah mereka beberapa tahun lepas. Dengan sebak arwah menelefonku memberitahu khabar duka mengejutkan itu. Adam anak yang sangat baik, menjaga abang Bob dengan melupakan beberapa peluang hidup yang lain. Melupakan keasyikan zaman remaja , menukarkan dengan berkhidmat pada ayahanda yang keuzuran. Kematian Adam sangat memberikan kesan kepada bapanya, aku menjadi saksi mata , Adam menyuap makanan dan menyediakan ubatan kepada abang Bob yang keuzuran di katil wad Hospital UITM Sungai Buluh beberapa kali.

Usai solat isyak berjemaah, kami ke kubur yang berhampiran masjid mukim Pulau. Ramai kawan-kawan mulai tiba termasuk daripada Lembah Klang, bacaan tahlil mengiringi kerja pemakaman arwah. Aku mencangkul tanah perlahan, menghela nafas paling dalam ,mengimbau kisah persahabatan yang panjang sehingga melewati daerah paling peribadi dalam privasi kehidupan. Rakan baik abang Bob ,M.Nasir berama Marlia Musa turut hadir memberikan penghormatan. Teman-teman aktivis lain juga membantu di kuburan sebagai tanda jasa akhir sebelum menutup cerita persahabatan kami. Hidup bukan hanya ada hitam dan putih, pelangi menebar variasi warna maka jangan memilih warna yang suram!.

Hidup ini akan berhujung, bagaimana kita mengisi kehidupan akan mewarnai hujung jatuh kehidupan kita. Teruskan memberi manfaat buat insan lain, menghargai kawan-kawan dan melengkapkan jadual hidup dengan ” berbekal” sebaik-baik bekalan. Damailah Mohd Hakim Bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf alkenali ( 1964- 2022). Kamu tetap dalam ingatan kolektif kami Bob!.