Home Berita PAS Perlis

PAS tetap teruskan agenda penyatuan ummah

198
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 11 Sept: PAS akan tetap meneruskan agenda penyatuan ummah di sebalik pelbagai halangan yang ada pada ketika ini.

Demikian tegas Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin ketika menyampaikan kuliah Maghrib sempena program Himpunan Anak Muda Perlis 5.0 (HAMAS 5.0) di sini semalam.

Menurut beliau, seruan tersebut tidak pernah padam malah usaha ke arahnya terus dilakukan dalam pelbagai cara, biarpun ada pihak dalam Umno yang cuba menggagalkannya.

“Apabila (sebahagian pemimpin) Umno tutup pintu rundingan, tidak mahu berunding dengan PAS, nak lupakan Muafakat Nasional (MN), tutup terus tak pergi berunding, (maka) kita kata kita masih terus berunding.

“Kita tidak pernah menutup pintu (rundingan), kita tetap berunding,” jelasnya.

Biarpun tidak disenangi kumpulan berkenaan, katanya, apa yang dilakukan oleh PAS adalah demi memastikan agenda penyatuan ummah tetap menjadi kenyataan demi masa depan umat Islam dan negara.

Beliau menambah, sekiranya ditakdirkan Umno tetap ingin bertembung dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, rundingan dan usaha menyatukan ummah tetap akan diteruskan.

“Kita akan teruskan agenda penyatuan ummah kerana ini perintah daripada Allah SWT.

“Ia merupakan wajibul wakti (kewajipan semasa) yang perlu kita laksanakan sehigga selesai (berjaya).

“Sekiranya tidak berjaya pada PRU-15, kita usakan lagi sehingga PRU-16,” ujarnya.