Home Berita PAS Terengganu

Pemuda PAS bersedia Pertahan Terengganu

137
SHARE
Mohd Harun Esa – Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu

Oleh: Adli Mohammad

ALOR SETAR – Kesedaran dan kebangkitan di kalangan anak muda khususnya golongan mahasiswa yang bersedia untuk mempertahankan kemenangan PAS di Terengganu memberi signal jelas bahawa parti ini semakin mendapat tempat di kalangan pengundi baru.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Harun Esa berkata, dengan situasi yang berlaku itu menjadikan golongan yang akan menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 semakin memahami apa yang PAS perjuangkan selama ini.

“Ini menunjukkan golongan anak muda yang bersama dengan parti ini mempunyai kualiti dan kesedaran yang jelas walaupun mereka tahu banyak tekanan, cabaran yang akan terpaksa mereka lalui namun mereka berazam untuk terus bersama PAS.

“Generasi berkualiti ini semakin bertambah, dan mereka akan membantu perjuangan membela rakyat di Terengganu dan negara ini, kita turut menyeru agar anak muda yang ingin bersama dengan perjuangan ini, Ayuh berjuang bersama PAS,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi mengulas mengenai Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia, di Raia Hotel, hari ini.

Tegasnya, sebaik pulang dari muktamar ini DPPNT akan melakukan persiapan penuh untuk bersiap siaga dan bersedia menghadapi apa jua situasi untuk terus mempertahankan Terengganu.

“Kita yakin, tidak ada masalah untuk kita mempertahankan kemenangan ini kerana selama ini jelas di sepanjang pentadbiran kita telah dapat melaksanakan kewajipan dengan baik dalam mas ayang singkat, segala janji dapat dipenuhi malah limpahan khidmat yang tidak dijanji juga turut diberi,”ujarnya.

Tegasnya, bahang menghadapi PRU Ke-15 kian terasa dan dengan penuh keyakinan gerakan anak muda dapat dirasai di seluruh negara.

“Kerana itu PAS bukan hanya akan mengekalkan kemenangan di Terengganu sahaja, malah akan ada berlaku pertambahan negeri yang akan dimenangi,”katanya.