Oleh: Renna Yun
31 Ogos 2022
KOTA BELUD: Seramai 41 orang pelajar SRITI Al-Makwa, Kota Belud telah menyertai program Roadshow Bijak Sifir anjuran Al Baghdadi Pentagon Math di Dewan Seminar Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah, Ahad lepas.
Menurut Guru Besar SRITI Al-Makwa, Ustazah Masnah Massuanna, dengan program itu dapat membantu anak-anak mempelajari teknik menguasai sifir dengan mudah, melatih congak dengan pantas dan kreatif serta membina keyakinan dalam diri mereka bahawa matematik adalah mata pelajaran yang menyeronokkan.
“Dengan program ini juga memberi motivasi kepada pelajar yang hadir untuk merasai sendiri pengalaman dan keseronokan belajar di UMS.
“Harapan saya semoga para pelajar yang telah menyertai program ini dapat mengaplikasikan setiap formula yang dipelajari,” ujarnya.
Masnah juga berharap pelajar lebih bersemangat dan minat dengan subjek matematik selepas mengetahui cara mudah dan seronok untuk menyelesaikan masalah dalam soalan matematik khususnya asas sifir.
Program dikendalikan oleh CEO Al Baghdadi Pentagon Math, Sulaiman Syah AB Rahman juga dikenali sebagai Che Man Congak.
Beliau juga merupakan penulis buku Pentagon Sifir, Congak dan Card Game. Seramai 600 orang peserta daripada pelbagai sekolah mengikuti program itu.