Home Berita PAS Sabah

Program amal bubur asyura bantu dana pembinaan maahad

122
SHARE

Oleh: Mimi Hazwa
29 Ogos 2022

KENINGAU: PAS kawasan Keningau dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan (PERAKAN) telah menganjurkan program Amal Bubur Asyura di Sekolah Rendah Sri Tahfiz Al Ilmi Keningau, pada Sabtu dan semalam.

Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS Sabah, Abdul Muein Mohd Noor, program itu diadakan untuk membantu mengumpul dana pembinaan bangunan Maahad Dakwah Dan Tarbiyah Darus Saadah Keningau.

“Alhamdulillah melalui program amal ini, pembinaan bangunan Maahad Darus Saadah, Keningau dapat disambung kembali.

Kami berharap pada masa akan datang, masyarakat sekitar daerah Keningau dapat bersama-sama menyumbang bagi memantapkan lagi institusi sekolah pondok di pedalaman Sabah khususnya di daerah Keningau,” ujarnya lagi.

Muein turut memaklumkan, aktiviti itu juga dilaksananakan bagi meneruskan tradisi membuat bubur asyura secara gotong-royong sempena tahun baru hijrah dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli.

Sebanyak lapan kawah bubur asyura telah dimasak yang diketuai oleh Pengerusi PERAKAN Keningau, Zakri Jaafar dalam program selama 2 hari itu dan sebanyak 550 pek bubur asyura telah diagihkan kepada para penyumbang, pelajar maahad dan penghuni Rumah Sejahtera di bawah seliaan NGO Keningau Sejahtera.

Program tersebut melibatkan lebih 50 orang petugas yang terdiri daripada ahli PAS kawasan, PERAKAN Keningau dan juga ahli Perantau Keningau.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Keningau, Haji Sahmain Hassim dan Ketua Lajnah kebajikan dan kemasyarakatan DMPNS, Norazian Sapiai merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Keningau.