Home Berita PAS Perlis

HIJAP1K: Isyarat jelas muslimat hadapi PRU-15

142
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 21 Ogos: Kehadiran lebih 1000 orang ke program Himpunan Jentera Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (HIJAP 1K) yang berlangsung hari ini menjadi isyarat jelas kesediaan Muslimat PAS Perlis menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Suasana penuh sesak di Balai Islam MADI, di sini menjadi saksi betapa tingginya tekad dan kesungguhan para muslimat PAS di negeri ini untuk turut sama bekerja membantu jentera pilihan raya parti bagi memenangkan PAS.

Pengarah HIJAP1K, Husna Hashim ketika ditemui menyifatkan, kejayaan Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (DMPNPs) dalam menghimpunkan para pendukung dan penyokong muslimat PAS pada hari ini sebagai suatu pencapaian besar yang membakar semangat buat DMPNPs untuk menghadapi PRU-15.

“Alhamdulillah, pada hari ini DMPNPs amat gembira melihat kehadiran luar biasa muslimat PAS yang sama-sama membulatkan tekad untuk bekerja bekerja memenangkan PAS dalam PRU nanti.

“Bertepatan dengan temanya ‘Muslimat Bangkit’, harapan kita agar nyalaan semangat yang ada pada hari ini akan terus marak dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk gerak kerja memenangkan PAS selepas ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin dalam ucapannya, turut merakamkan ucapan tahniah kepada muslimat Perlis atas kejayaan penganjuran HIJAP1K.

“Jika Perlis negeri yang kecil ini dapat kumpul lebih 1,000 petugas jentera, negeri lain yang lebih luas perlu menghimpunkan lebih banyak petugas jentera.

“Kita mengharapkan agar pilihan raya akan datang PAS dapat menguasai 2/3 kerusi parlimen supaya kita boleh mengubah perlembagaan yang ada,” katanya.