Home Kenyataan Media PAS Perlis

Elakkan perpecahan yang menguntungkan PH

70
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS PERLIS
ELAKKAN PERPECAHAN YANG MENGUNTUNGKAN PH

PAS Perlis menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin agar semua pihak memberi fokus agenda satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Kenyataan ini juga selaras dengan saranan Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin baru-baru ini supaya semua pihak khususnya parti-parti politik Melayu-Islam terus berusaha memastikan perpaduan ummah dapat dicapai kerana perkara berkenaan merupakan perintah Allah SWT.

PAS Perlis ingin mengingatkan semua pihak agar tidak melupakan sejarah 22 bulan negara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan PH memerintah negara adalah disebabkan perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti-parti politik dan pengundi Melayu-Islam yang akhirnya memberikan undi yang cukup besar buat pakatan berkenaan untuk menerajui Putrajaya.

Kesan daripada hal tersebut, jurang perpaduan antara kaum semakin meluas, hak-hak umat Islam dan Bumiputera semakin terhakis bahkan kuasa Raja-raja Melayu turut tercabar.

Justeru, PAS Perlis akan turut berusaha menyatukan parti-parti politik Melayu di negeri ini agar agenda perpaduan ini dapat dijayakan, sekaligus mengelakkan PH daripada kembali berkuasa.

“Islam Menyatukan Ummah”

MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Ketua Penerangan PAS Perlis
21 Ogos 2022 | 23 Muharram 1444H