Dalam kalangan Yahudi Ortodoks, mereka menganggap tindakan Yahudi Zionis menegakkan semula negara itu seolah-olah menggali kubur sendiri dan menanti tibanya ajal bangsa Yahudi. Kenyataan tersebut telah disokong oleh beberapa pemimpin negara Israel terkini seperti Ehud Barak dan lain-lain.
Dalam pada itu, negara-negara Arab dan Islam dipaksa atau dipujuk supaya mengiktiraf atau mengadakan normalisasi terhadap negara haram itu. Tanpa mereka mempedulikan rakyat Palestin yang dikorbankan tanpa perikemanusiaan, malah ada pula dalam kalangan umat Islam yang jahil akan janji Allah SWT terhadap bangsa Yahudi itu.
Bahkan, ada juga yang mengambil pendekatan penyelesaian dua negara (two-solution state) kononnya bagi menyelesaikan konflik ini. Padahal Palestin sehingga hari ini masih dihalang oleh Israel dengan berbagai-bagai tipu helah.
Pada masa yang sama, Israel dibantu persenjataannya secara bertali arus sejak ditubuhkan pada tahun 1948 sehingga kini. Hal ini termasuklah dibekalkan senjata pemusnah yang diharamkan kepada negara lain, dengan alasan kononnya itu adalah hak mereka untuk menjaga keamanan dan mempertahankan diri.
Adapun rakyat Palestin yang sebenarnya mempertahankan diri dan tanah air secara sah pula dianggap pengganas, walaupun mereka hanya bersenjatakan pisau panjang sejengkal. Namun, kini mereka terus berjaya memajukan persenjataannya dengan bantuan negara Iran yang mampu mencabar sebarang bentuk ancaman Israel.
Sehingga kini, Israel membina kubu dan tembok semata-mata bagi memagari perkhemahan penduduk Palestin laksana memenjarakan mereka di dalamnya. Sebenarnya, tindakan yang dilakukan oleh Yahudi itu telah disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۢۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ١٤ كَمَثَلِ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ قَرِيبٗاۖ ذَاقُواْ وَبَالَ أَمۡرِهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ١٥﴾
“(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kalian melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan antara mereka sesama sendiri amatlah keras; kamu menyangka mereka bersatu padu, sedangkan hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Oleh yang demikian, kerana mereka ialah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka). (14); (Keadaan kaum Yahudi itu) samalah seperti orang-orang (daripada kaum Yahudi) yang terdahulu sedikit daripada mereka, yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) daripada kekufuran mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (pada Hari Akhirat kelak). (15)” (Surah al-Hashr: 14-15)
Walaupun tindakan zalim Yahudi itu mendapat bantahan antarabangsa dan adanya Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun ia langsung tidak dipedulikan kerana mendapat sokongan kuasa besar untuk normalisasikan segala tindakan mereka. Sekalipun mereka bertindak dengan cara yang paling melampau, sehinggakan mencari pemimpin Palestin untuk dibunuh, termasuk para saintis dan pemimpin dari negara Arab dan Islam atas alasan menjaga keselamatan negara haram Israel itu.
Kita percaya bahawa segala bentuk perlindungan yang diberikan kepada Israel, sekalipun mengikut undang-undang binatang di rimba yang kuat sehingga boleh bertindak apa sahaja, segalanya pasti tidak akan mampu mempertahankan Israel yang telah ditetapkan ajalnya oleh Allah SWT.
Kini, terserlah tanda-tanda keruntuhannya melalui amaran daripada pengakuan para pemimpin Yahudi sendiri. Begitu juga, perpecahan yang sedang berlaku sesama mereka, sehinggakan tidak ada satu parti pun yang boleh menubuhkan sebuah kerajaan.
Sudah pasti akan berulang apa yang pernah berlaku terhadap mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَخۡرَجَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ مِن دِيَٰرِهِمۡ لِأَوَّلِ ٱلۡحَشۡرِۚ مَا ظَنَنتُمۡ أَن يَخۡرُجُواْۖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمۡ حُصُونُهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَأَتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِنۡ حَيۡثُ لَمۡ يَحۡتَسِبُواْۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَۚ يُخۡرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيۡدِيهِمۡ وَأَيۡدِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فَٱعۡتَبِرُواْ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ٢﴾
“Dialah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir antara Ahli Kitab dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun (hendak memerangi Rasulullah SAW). Kalian (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (daripada azab) Allah. Maka, Allah menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak mereka sangkakan, serta dilemparkan-Nya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka, insaflah dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang-orang yang mempunyai wawasan.” (Surah al-Hashr: 2)
Kini, negara haram Israel dalam keadaan bertahan, tidak menyerang jauh ke luar sempadannya, sehingga menawarkan perjanjian damai dan gencatan senjata. Namun, sifatnya yang sudah dikenali sepanjang sejarah tidak menghormati perjanjian, khususnya perjanjian dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW di Madinah dahulu. Perkara ini disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿أَوَ كُلَّمَا عَٰهَدُواْ عَهۡدٗا نَّبَذَهُۥ فَرِيقٞ مِّنۡهُمۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ١٠٠﴾
“Patutkah (mereka ingkar ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian, (perjanjian itu) dibuang dan dicabuli oleh segolongan daripada mereka? Bahkan, kebanyakan dalam kalangan mereka itu tidak beriman.” (Surah al-Baqarah: 100)
Kini, negara-negara kuasa besar yang melindungi negara haram Israel itu satu demi satu mengalami kejatuhan berturut-turut, laksana mata rantai yang menerima gilirannya masing-masing. Semuanya adalah ketetapan Allah bagi menguji manusia, dan perkara itu wajib disedari oleh mereka yang beriman. Firman Allah SWT:
﴿قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ٢٦ تُولِجُ ٱلَّيۡلَ فِي ٱلنَّهَارِ وَتُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِي ٱلَّيۡلِۖ وَتُخۡرِجُ ٱلۡحَيَّ مِنَ ٱلۡمَيِّتِ وَتُخۡرِجُ ٱلۡمَيِّتَ مِنَ ٱلۡحَيِّۖ وَتَرۡزُقُ مَن تَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٖ٢٧﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah juga yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (26); Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah juga yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati, dan Engkaulah juga yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jua yang memberikan rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki tanpa hitungan hisabnya (batasannya).’ (27)” (Surah Ali ‘Imran: 26-27)
Firman Allah SWT:
﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾
“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah Tuhan yang telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)
Justeru, negara-negara yang mengadakan normalisasi terhadap Israel pasti akan menerima tempias daripada kesesatan dan kemusnahannya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Muharram 1444 / 14 Ogos 2022