Pasar ‘Free’ dan Raga Barang Dapur Untuk 100 Asnaf
28 Jun 2017, Kelantan : Program “Pasar ‘Free’ dan Raga Barang Dapur untuk Asnaf” telah berlangsung dengan meriahnya di Dataran Ilmu Gunung di sini pada 20 Jun 2017. Program anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPKN) ini berlangsung dari seawal pukul 8 pagi, bermula dengan pendaftaran para peserta. Majlis kemudian dibuka dengan ucapan kata-kata aluan oleh YB Rohani Ibrahim selaku Ketua LKK DMPKN diikuti dengan ucapan oleh YB ADUN Jelawat, YB Cikgu Haji Abdul Azziz Bin Kadir Hadir dan seterusnya ucapan oleh YB Zailah selaku Ketua DMPNK.
Turut hadir bersama menjayakan program ini ialah Dr. Wan Martina selaku Ahli Jawatan Kuasa (AJK) LKK Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM). Antara aktiviti menarik yang berlangsung sepanjang program ini ialah penyampaian Sumbangan Raga Barangan Dapur kepada 100 orang Asnaf di DUN Jelawat Bachok.
Selain itu juga, satu aktiviti yang agak unik iaitu “Pasar ‘free’ barangan makanan basah” juga berlangsung dengan meriahnya. Antara barangan makanan basah yang disediakan adalah seperti sayur-sayuran, ayam, telur, kuih – muih untuk berbuka, kuih Raya, mee, kue tiaw, tepung, kicap, bawang , susu kanak-kanak serta terdapat juga pakaian terpakai.
Muslimat Medik (MUSMED) juga tidak ketinggalan turut terlibat di dalam program ini. Pemeriksaan kesihatan percuma atau Klinik Percuma untuk Asnaf juga telah dijalankan di sepanjang program berlangsung.
Pihak LKK DMPM berasa amat bersyukur dengan kelancaran program ini yang telah berlangsung dengan jayanya, dengan harapan semoga penerima sumbangan dapat bersama-sama merasa kebahagiaan dan berkongsi kegembiraan di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Tidak dilupakan juga, pihak LKK DMPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang dermawan lagi budiman. Semoga hanya Allah yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran dan pahala.Jazakumullah khayran kathiro.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”