Seindah Syawal: Senyuman Buat Ahli Syurga
28 Jun 2017, Kuala Lumpur : Saat Ramadhan semakin hampir di penghujungnya, umat Islam akan sibuk membuat persediaan menyambut Syawal bagi meraikan kemenangan setelah menjalani ujian sebulan berpuasa. Namun bagi kanak-kanak, Hari Raya Adilfitri adalah hari yang sangat dinanti-nantikan. Hari untuk bergembira dan bersuka ria, memakai pakaian yang baru dan cantik, menjamu juadah yang bermacam aneka rasa, berkumpul bersama sanak saudara, bermain bunga api dan mengumpul duit raya.
Dalam kita bergembira dan melihat anak-anak kita bersuka ria, ada ramai kanak-kanak yang sebaya dan seusia anak-anak kita tidak dapat merasa kegembiraan dan keseronokan seperti yang dirasai anak-anak kita terutama di Aidilfitri ini. Mereka diuji dan terlantar di katil hospital. Justeru itu, tanggal 23 Jun 2017 bersamaan dengan 28 Ramadhan 1438, Skuad Prihatin dari Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), LKK DMPWP dengan kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) telah menganjurkan satu program yang dinamakan “Seindah Syawal” khas buat kanak-kanak yang berada di Wad Pediatrik atau Wad Kanak-kanak 1, Wad Kanak-kanak 2 dan Wad Kanak-kanak 3 (Wad pesakit Kanser) di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Selain meraikan dan menggembirakan kanak-kanak tersebut, “Seindah Syawal” juga turut meraikan petugas-petugas yang bertugas di wad tersebut.Program Seindah Syawal bermula pada jam 2.30 petang. Antara aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut ialah, penyampaian Hamper Raya dan Juadah Raya untuk petugas-petugas wad kanak-kanak. Seterusnya, Team Skuad Prihatin juga telah mengedarkan “Soft Toy” untuk pesakit kanak-kanak beserta duit Raya dan juga kuih Raya untuk Ibubapa pesakit.
Team Skuad Prihatin bersama rombongan turut terharu bercampur gembira dan terhibur melihat senyuman dari disebalik kesakitan di wajah anak-anak tersebut apabila menerima hadiah dari Skuad Prihatin. Sumbangan hadiah tersebut telah disampaikan kepada 100 orang pesakit kanak-kanak. Turut hadir meraikan program ini ialah Ustazah Nuridah Bt Mohd Salleh, selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bersama Timbalan Ketua DMPM, Dr. Rosni Adam, Presiden Muslim Care Malaysia, Tuan Hj Zulkifli Wahijan, Pengerusi LKK DMPM, Dr. Uyun Abd Malek serta AJK LKK DMPM dan LKK DMP Wilayah Persekutuan dan Muslim Care Malaysia (MCM).
Pihak LKK DMPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dan penaja atas keprihatinan serta sumbangan ikhlas ini. Senyuman dan kegembiraan kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur tempoh hari juga adalah sebahagian daripada kegembiraan yang dirasai oleh Team Skuad Prihatin. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas-petugas dan juga pihak Hospital Kuala Lumpur di atas kerjasama yang diberikan.
Alhamdulillah, program “Seindah Syawal” berjalan dengan lancar dan jayanya sehingga ke jam 4 petang. Dengan kesempatan ini juga, pihak LKK DMPM mengajak kita semua bersama-sama mendoakan agar semua kanak-kanak yang diuji dengan kesakitan di mana jua, agar diberi kesembuhan oleh Allah SWT dan semoga dipermudahkan segala urusan mereka serta diberi kekuatan kepada mereka untuk melawan penyakit yang dihidapi. Allahumma aameen.
Jazakumullah Khair Katheera. Siiru ‘ala Barakatillah.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”