Home Melaka

Rencana : Peranan mahasiswa Islam dalam memperkasakan Keluarga Malaysia

364
SHARE

Oleh ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN

SEJAK dahulu lagi, tuduhan bahawa Islam sebagai agama yang membawa perpecahan dan permusuhan sering dimainkan. Walaupun begitu, Islam masih tetap berkembang di serata pelusuk dunia dengan begitu pesat.

Atas janji Allah dalam al-Quran bahawa Islam itu agama yang sempurna, menyeluruh dan lengkap. Ianya akan sentiasa terpelihara hingga akhir zaman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 :

…ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَٰمَ دِينًا ۚ…

Maksudnya : “…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”

Penegasan : Manusia adalah bersaudara

Tuhan telah menegaskan betapa eratnya hubungan sesama manusia yang berkonsepkan sebuah ‘keluarga besar’. Mereka menjalinkan hubungan silaturrahim dan diwajibkan berta‘aruf serta berta‘awun dalam perkara yang baik. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu (Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawa), dan juga yang mengembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta (peliharalah) hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.”
(Surah al-Nisa’ ayat 1)

Umat Islam : Teras Keluarga Malaysia

Ajaran baik tanpa praktikal tidak akan menghasilkan manfaat. Begitu juga ajaran Islam yang menekankan keadilan dan kesejahteraan, tidak akan berhasil jika umat Islam tidak melaksanakannya. Lebih teruk, berpecah belah pula sesama sendiri.

Keluarga Malaysia – gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Antara faktor perpecahan umat Islam adalah disebabkan mereka :
– Meninggalkan panduan syariat Islam yang syumul.
– Lebih mengutamakan emosi berbanding penyelesaian isu.
– Jahil terhadap agama sendiri.
– Bersikap lunak dan lebih takutkan musuh berbanding bersatu tenaga bersama saudara seIslam.

Atas dasar itu, seluruh umat Islam perlu berperanan dalam menjaga kesatuan ummah. Kerana, mereka yang terlebih perlu menjaga perpaduan antara kaum di negara kita yang tercinta. Tanpa kesatuan umat Islam di Malaysia, impian Keluarga Malaysia pasti tidak dapat direalisasikan.

Mahasiswa Islam : Agen penyatuan umat

Tanggungjawab menyatukan rakyat di negara tercinta perlu disahut oleh semua golongan, lebih-lebih lagi kalangan mereka yang terpelajar seperti mahasiswa yang dididik dengan panduan wahyu dan akal rasional yang tepat. Antara peranan yang boleh dilakukan :-

Pertama, mendidik umat dengan suluhan wahyu. Mahasiswa Islam perlu mempunyai asas ilmu yang kukuh dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Ajaran Islam yang sahih, murni dan suci perlu diperkukuhkan di kalangan umat Islam dan disebarkan kepada masyarakat awam.

Manusia tanpa ilmu, akan melahirkan kerosakan ke dalam keamanan dan perpaduan sesama mereka. Pepatah Arab menyatakan :

الإنسان عدو ما يجهل

Kedua, memperkasakan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan asas dalam kehidupan. Mahasiswa perlu mengajak masyarakat untuk mengutamakan penyelesaian mengikut dalil berbanding hujahan emosi yang tidak ke mana.

Penyelesaian berdasarkan sumber yang disepakati umat, iaitu al-Quran dan al-Sunnah perlu diutamakan. Sudah semestinya dengan syarahan dan panduan para ulama dan profesional yang berkelayakan. Kita yakin, panduan asas (al-Quran dan al-Sunnah) ini boleh menyelesaikan masalah masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Mahasiswa – gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Contoh konsep yang diterima umum seperti perbankan Islam yang semakin popular. Bagaimana pula dengan model-model Islam dalam sektor-sektor yang lain? Kenapa tidak diberikan peluang dan ruang?

Ketiga, mempelajari bahasa, adat budaya bangsa lain. Kehidupan bermasyarakat madani dalam konteks hubungan sesama manusia yang diciptakan daripada berbagai-bagai suku kaum dan bangsa adalah wajib dijalinkan. Oleh itu, untuk memperkukuhkan hubungan persaudaraan tersebut semestinya dengan mempelajari budaya masing-masing di samping menghormatinya.

Antara teladan sejarah yang boleh kita contohi, seperti para sahabat Baginda ﷺ telah mempelajari bahasa masyarakat ketika itu seperti bahasa Yahudi (Ibrani), Rom dan sebagainya. Ini memudahkan komunikasi dan seterusnya dakwah berjalan dengan lancar.

Seperti hari ini, mahasiswa Islam boleh mempelajari kaligrafi Cina, bahasa India dan huruf Jawi yang sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Keempat, menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai contoh teladan. Pengakuan para cendekiawan bahawa Rasulullah ﷺ adalah insan yang berjaya menyatukan umat Islam pada zamannya yang mempunyai pelbagai puak dan bangsa.

Kejayaan Khilafah Islamiyah selepas kewafatan baginda antara lainnya kerana asas kesatuan di zaman Nabi ﷺ.

Antara faktor yang menyumbang kejayaan tersebut adalah :

• Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar
• Model Piagam Madinah yang menyatukan pelbagai bangsa di dalam negara Islam Madinah.
• Layanan sama-rata baginda dan para sahabatnya kepada masyarakat dan rakyat

Tuntasnya, mahasiswa Islam perlu berperanan besar dalam mengukuhkan hubungan sesama Islam dan masyarakat awam serta menjadi sumber rujukan kepada rakyat.

Akhirnya, marilah kita mengamati kata-kata Imam As-Syahid Hassan al-Banna yang pasti menambat hati kita berkaitan Islam :

اَلإِسْلاَمُ نِظَاْمٌ شَاْمِلٌ يَتَنَاْوَلُ مَظَاْهِرَ اْلحَيَاْةِ جَمِيْعًا؛ فَهُوَ دَوْلَةٌ وَوَطَنٌ أَوْ حُكُوْمَةٌ وَأُمَّةٌ، وَهُوَ خُلُقٌ وَقُوَّةٌ أَوْ رَحْمَةٌ وَعَدَاْلَةٌ، وَهُوَ ثَقَاْفَةٌ وَقَاْنُوْنٌ أَوْ عِلْمٌ وَقَضَاْءٌ، وَهُوَ مَاْدَةٌ وَثَرْوَةٌأَوْ كَسْبٌ وَغِنًى، وَهُوَ جِهَاْدٌ وَدَعْوَةٌ أَوْ جَيْشٌ وَفِكْرَةٌ، كَمَاْ هُوَ عَقِيْدَةٌ صَاْدِقَةٌ وَعِبَاْدَةٌ صَحِيْحَةٌ سَوَاْءٌ بِسَوْاءٍ

Maksudnya : “Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih.”

Penulis adalah graduan Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar al-Syarif