Home Berita PAS Terengganu

Belia sambut baik pawagam patuh syariah

246
SHARE

KUALA TERENGGANU – Para belia dan beliawanis di negeri ini menyambut baik tindakan kerajaan negeri memperkenalkan pawagam patuh syariah selari dengan dasar Islam yang tidak menyekat hiburan selagi tidak keluar daripada batas syarak.

Salah seorang pengunjung, Nurul Anisah Huzik, 27, berkata langkah kerajaan Terengganu itu secara tidak langsung mendidik rakyat terutamanya golongan anak muda supaya berhibur dengan cara yang betul.

“Selama ini bila disebut pawagam, apa yang dibayangkan adalah tempat kurang elok kerana terdapat percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu ruang yang terhad dan gelap.

“Namun, setelah ditetapkan waktu yang bersesuaian serta pengasingan tempat duduk antara lelaki dan perempuan, maka ia dapat dikawal.

“Langkah diambil oleh kerajaan ini membolehkan filem ‘Mat Kilau’ ditonton dan menjadi alternatif hiburan bersama keluarga yang pada pandangan saya sangat baik dalam memupuk serta mendidik orang ramai melalui nilai perpaduan serta mempertahakan kesucian agama Islam,” ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pawagam Lotus Five Star (LFS) selepas menyaksikan filem Mat Kilau, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Nor Syafikah Mohamad, 28, menyifatkan tidak menjadi kesalahan jika rakyat Terengganu mahu menonton filem di pawagam setelah kerajaan telah mengambil tindakan mengawalnya dengan garis panduan hiburan yang patuh syariah.

“Cuma tinggal lagi orang kita kena pandai memilih filem-filem yang baik, sewajarnya juga industri filem dalam negara kita ini memperbanyakkan filem-filem yang berupaya mendidik rakyat kerana ia boleh menjadi medium sebaran dakwah untuk mengajak masyarakat kembali menghayati ajaran Islam serta nilai-nilai murni yang lain,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Zaim Kama, 29, berpendapat kewujudan pawagam di Terengganu tidak menjadi masalah serta tidak perlu dijadikan isu.

“Garis panduan yang dilaksanakan kerajaan negeri telah dapat mengawalnya, maka secara tidak langsung tidak akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini serta mencemarkan adat budaya orang kita.

“Selagi mana tiada perkara yang boleh mengundang kepada dosa dan maksiat selagi itu hiburan di dalam Islam dibolehkan, cuma kalau boleh saya ingin mencadangkan agar filem-filem yang hendak ditayangkan di negeri ini ditapis dengan sebaik-baiknya agar ia sesuai dengan adat budaya masyarakat,” ujarnya.