leh: Dr Riduan Mohamad Nor.
” keadaan abang Bob Lokman macam mana sekarang?” Soalan klise ramai orang bila bertemu aku, kadang seperti batu besar yang menghempap tengkuk apabila mendengar soalan itu. Seperti satu tanggungjawab yang aku abaikan akibat kepadatan mengejar program jamaah, program- program kerajaan serta pengurusan peribadi , berulang Besut ke Kotaraya saban minggu.
” khabarnya sangat tak sihat, kini terlantar di rumahnya di Kubang Kerian..hanya 10 peratus fungsi jantungnya dan dibantu pernafasan dengan balang oksigen” aku menjawab pertanyaan teman-teman yang prihatin tentang kondidi Abang Bob. Pimpinan Muslim Care agak kerap berulang dan memantau kesihatan abang Bob yang juga aktivis NGO tersebut. ” kita pakat doalah, moga yang terbaik buat abang Bob” aku menyudahi perbualan. Banyak bulan juga dia tersadung dirumah, kawan-kawan menziarahinya bertanya khabar termasuk DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Sabri Yunus , Angeline Tan, Dr Fadli, Ustaz Syed Kader dan lain -lain.
Minggu ini aku berkesempatan dua kali menziarahi Bob, turun pesawat di Pengkalan Chepa terus ke Kubang Kerian bersama Mohd Huzaifah . Telefon tak berangkat, puas digodek nombor 0192825555.” Tidurlah tu,dia tak sihat mana” tukas Huzaifah, Pegawai Khas Pejabat Penyelaras Parlimen Besut. Kali kedua bersama Che Yee, AJK LESTARI dan Roslan aktivis Kebajikan Besut.
” terus ke rumah dialah, Haji Zul ada bagi lokasi ” aku memberikan arahan ,masa sangat suntuk kerana mengejar majlis perasmian Mesyuarat PIBG kolej Vokasional Besut jam 11.00 pagi. Abang Bob Lokman menyambut kami dengan balang oksigen menemaninya. Kak Lela,isterinya sempat memasak sarapan untuk tetamu walau ditolak sopan. 15 tahun berkawan dengan abang Bob, maka bab menjamu tetamu ke rumah bukanlah isu kecil.
” ana tak larat dah,ambil wudhuk kat sini jer,,nak berulang ke tandas makin tak larat” katanya lirih sambil menunjukkan bekas air dihujung katil. Aku memahami sifat abang Bob, jika dia tak larat maknanya memang energinya sangat lemah. Dia pantang menolak apa jua pgram dakwah walaupun terpaksa mengusung balang oksigen. Teringat aku semasa Ijtimak Alami 2015 di Masjid Rusila, senggang masa antara persembahan pentas, dia menyedut balang oksigen tercungap-cungap dan sehari sebelum ijtimak Alami kami mengejarkannya ke wad kecemasan kerana bahana empat gelas air tuak ( air nira).
Belasan tahun berprogram bersamanya, meranduk hutan dan bandar,Sabah dan sarawak, pulau dan bukit!, kadang aku menjadi mangsa membahannya sambil dia menyeringai ketawa. Ya, sesiapa yang mengenali Abang Bob pasti akan merasa sedih apatah lagi warga an Nur Besut dan an Nur Setiu. Tiga orang anak-anak Abang Bob mencicip ilmu disini. Dia mengenderai kenderaan beratus kilometer semata-mata untuk memasak nasi maqlubah untuk warga tahfiz. Kadang , kondisi kesihatannya melemah,namun dia tetap tersenyum di Kompleks Tahfiz An Nur untuk menyediakan nasi arab maqlubah . Seronok dan rasa bahagia jika anak-anak tahfiz melahap air tangannya, ruang dapur tahfiz hingar bingar dengan usik mengusik. Kadang nasi maqlubah dimasak di rumahnya di Kubang Kerian ,dibawa untuk dijamu pada warga Tahfiz.
Bila tahu abang Bob sakit dan akan menjalani pembedahan jantung, anak-anak Tahfiz an Nur Besut dan Setiu terus mengadakan solat hajat dan berdoa agar insan yang cakna pada anak-anak tahfiz ini dikurniakan kesembuhan . Dia mengusahakan mesin dobi pada an nur Setiu dan mengusahakan untuk membeli van untuk an Nur Besut ( jumlah dana belum mencukupi, masih dalam proses mengumpul dana). Dipelbagai tempat lain juga beliau membantu mengutip dana membina maahad,surau , membantu orang lain yang dihempap kesusahan maka tak pelik jika beliau disayangi oleh ramai insan lain.
Sosok anak seni,aktivis kemanusiaan yang juga pendakwah ini sentiasa dekat dihati kita. Para asatizah, alim ulama ,bahkan ilmuan Islam juga dimesrai oleh abang Bob. Beliau rapat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan ulama yang lain, maka tak pelik jika ramai yang mendoakan beliau serta menghulurkan sumbangan.
Sakit atau sihat , abang Bob tetap menjadi perhatian masyarakat, teman-teman aktivis terus bercakap tentang Bob dan berita keuzuran anak seni ini dengan pantas berjangkit di alam siber. Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim bin Lokman bin Ahmad bin Yusuf al Kenali belasan tahun dahulu dengan nekad telah meninggalkan kerlipan industri hiburan dan menyertai PAS dalam himpunan 30k Pemuda Pas di Alor Setar. Anak seni dengan tarikan pesona yang besar ini tetap menggunguli pentas ceramah PAS serta pengisi program masjid surau,malah acara besar PAS ,namanya tetap dalam senarai papan carta utama.
” satu-satu anak seni yang tidak pernah menetapkan kadar bayaran untuk berprogram ( Zuar xpdc juga).. jarak jauh atau dekat,program mega atau skala kecil ..yang penting dia boleh membantu usaha dakwah dan menarik anak mud akepada fitrah” aku menjelaskan kepada seorang penganjur tentang usahanya untuk menjadikan Bob sebagai pengisi program kawasan.
Dalam parti Islam, beliau beberapa sesi berada dalam Lajnah Kesenian Dan Kebudayaan. Ajaklah berprogram kemana sahaja walau terpaksa mengusung tangki oksigen, ke pulau-pulau terpencil , kawasan pedalaman, FELDA, FELCRA, dia tak serik kerana dirinya telah diwakafkan untuk perjuangan dan dakwah.
Mengendong tendensi dan bakat dibidang pengacaraan yang beliau puluhan tahun ceburi selama ini. Bob adalah alumni Maahad Hamidiah Kajang, pernah membesar di Pondok Tok kenali kubang kerian, juga merupakan cicit Tok Kenali dan cucu Tuan Guru Haji Ahmad Bangkok. Bakat berdakwah ada dalam darahnya dan beliau juga merupakan anak saudara almarhum ustaz Mawardi Ahmad, bekas ADUN Lundang. Menarik pula ,dia tak bercita-cita untuk menjadi anggota Legislatif atau berniat menjadi pimpinan. Gerakerja dipacu untuk meraih pahala dan menjaga keikhlasan .
Lelaki berpostur besar ini semenjak berhijrah daripada alam selebriti terus menjadi pentaksub ilmu, menghadiri majlis ilmu, berusrah serta turun menjelajahi negara untuk berkongsi pengalaman serta menitip nasihat buat anak muda. Bob Lokman juga berusaha untuk menarik kawan-kawan artis untuk kembali menghayati ajaran Islam seterusnya berhijrah ke alam fitrah. Rumah beliau sebelum ini di Sungai Buluh sering menjadi tempat berusrah serta majlis silaturrahim. Jika dibuat dilokasi selain rumahnya,maka tugasnya untuk memasak kepada majlis yang kami adakan dibawah Lujnah Kesenian.
Semenjak abang Bob jatuh sakit dan kadang kala kesihatannya merosot dengan teruk maka aktivitinya separa terhenti , ditambah dengan pandemik kovid. Beliau dan isteri sejak berpindah ke Kelantan daripada Sungai Buluh berniaga secara kecilan bagi menghidupkan dapur. Musim pandemik yang mendunia ini sedikit sebanyak kondisi ekonomi keluarga Bob juga terjejas . Bob diuji dengan keuzuran,manakala kita pula diuji dengan sikap cakna atau tidak terhadap nilai persahabatan!
Semoga pengorbanan Bob dicaknai kita semua, terimakasih kepada rakan-rakan LESTARI , anak-anak seni , NGO bernuansa kebajikan , ahli-ahli jemaaah PAS, seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan dan membantu abang Bob. Salurkan sedikit rezeki kita kepada keluarga abang Bob:
AKAUN MAYBANK , RELAWATI DAUD ( ISTERI)
162348359386.
( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)