Oleh IBNU JANIE
Foto ANAS ABDULLAH
AYER KEROH, 9 Jun: Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin berharap agar guru-guru institusi ini dapat mencapai sasaran ‘5 Celik’ hasil daripada kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAK) yang telah dilalui.
Menurut beliau, sasaran ‘5 Celik’ yang ditetapkan oleh PASTI Pusat dan disasarkan untuk anak-anak didik institusi ini meliputi celik sahsiah; celik Al-Quran; celik membaca; celik minda dan celik cerdas.
“Saya juga berharap agar semua guru yang terlibat dalam kursus ini dapat menyampaikan ilmu kepada anak-anak PASTI dengan lebih tersusun dan penyampaian yang lebih baik,” ujar beliau.
Beliau turut berpesan agar guru-guru PASTI supaya sentiasa menuntut ilmu bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
“Peranan kita sebagai pendidik perlu ada banyak ilmu untuk menyampaikan pula ilmu kepada anak-anak murid PASTI. Sebabnya meraka adalah aset kita dalam menyampaikan dakwah kita kepada Islam.
“Dengan adanya ilmu juga kita dapat menyampaikan ilmu kepada anak murid PASTI dengan pelbagai cara dan aktiviti yang lebih berkesan dengan bengkel-bengkel yang di berikan kepada guru-guru PASTI ini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, semua ini bertepatan dengan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud ‘bahawa menuntut ilmu itu menjadi satu tuntutan kepada setiap orang Islam’.
Ustaz Norfaizal menyatakan perkara ini kepada WARM-Berita PAS ketika dihubungi bagi mengulas tentang kursus DPAK yang berlangsung dari 4 hingga 7 Jun lepas di Kem Permata Resort, Alor Gajah.
Kursus ini melibatkan seramai 23 orang guru bagi semester tiga di bawah bimbingan 10 orang jurulatih utama, yang berlangsung pada 4 dan 5 Jun, sementara 13 orang guru daripada semester lima yang dibimbing enam orang jurulatih pula berlangsung pada 6 dan 7 Jun di lokasi yang sama.