PASIR GUDANG – Kerajaan negeri hari ini meraikan 1,500 anak Terengganu di negeri Johor dalam Majlis Penyerahan i-Perantau Negeri Johor dan Sambutan Hari Raya di Tanjong Puteri Golf Resort, Johor di sini.
Pengerusi Jawatankusa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pimpinan kerajaan negeri berkunjung ke negeri Johor bagi menyantuni perantau di Zon Selatan tanah air.
“Selain sambutan hari raya, kita turut menyampaikan i-Perantau buat seramai lebih kurang 200 penerima yang hadir pada hari ini.
“Insya-Allah pada bulan hadapan saya mungkin akan ke Perak untuk bertemu dengan anak-anak perantau Zon Utara bagi menyenpurnakan penyerahan i-Perantau ini,” katanya kepada pemberita.
Hanafiah menyatakan komitmen pihak kerajaan untuk menjelajah ke seluruh negara termasuklah ke Sabah dan Sarawak bagi tujuan agihan i-Perantau di samping bertemu anak perantauan untuk memberikan pencerahan berkenaan aspirasi kerajaan.
Terdahulu, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi bantuan ‘one-off’ i-Perantau buat kira-kira 2,500 penerima yang layak dan telah diagihkan di Kuala Lumpur serta Pahang.
Turut hadir Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Dato’ Haji Hussain Awang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta pimpinan kerajaan negeri lain.