Home Berita PAS Pahang

Lebih 3,000 orang hadiri majlis Hari Raya Aidilfitri ADN Panching dan PAS Paya Besar

70
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

PAYA BESAR, 29 Mei :: Lebih 3,000 orang telah menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching dan PAS Kawasan Paya Besar di Arena Dato’ Sri Abdul Manan, Permatang Badak di sini semalam.

Para pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang hadir memeriahkan majlis tersebut yang turut disertai tetamu-tetamu dari jabatan-jabatan sektor kerajaan, sektor swasta, NGO-NGO serta pimpinan-pimpinan masyarakat.

ADN Panching Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dilihat tidak putus-putus melayan tetamu yang datang sejak dari pukul 10.30 pagi hingga 3.00 petang.

Dari semasa ke semasa kedengaran beliau sendiri mengalu-alukan ketibaan orang ramai melalui pembesar suara sebelum secara rasminya diminta menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Syukur kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita mengadakan jamuan hari raya ini selepas 2 tahun kita tidak boleh menganjurkannya kerana diuji dengan wabak Covid-19 bila mana kita dilarang mengadakan sebarang perhimpunan dan jamuan besar-besaran,” kata Mohd Tarmizi memulakan ucapannya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar menyatakan tujuan utama diadakan jamuan tersebut adalah untuk menjalinkan hubungan ukhuwah (persaudaraan) sesama insan selain untuk memeriahkan suasana hari raya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudi hadir memenuhi undangan saya yang mempelihatkan sambutan yang baik di kalangan masyarakat atas penganjuran ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakannya,” ujar beliau lagi.

Acara yang menarik perhatian ramai pengunjung yang hadir ialah cabutan bertuah yang telah diadakan sebanyak 6 pusingan untuk memenangi pelbagai hadiah barangan dan baucer yang tersedia dengan kemuncaknya sebuah basikal klasik model terbaru di pasaran sebagai hadiah utama.

Foto Oleh: Fitri Abdullah, Alfian Ali, Zulkifli Noor, Nazim Maarop.