KUALA NERUS – Perdana Menteri yakin kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mampu mencapai sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya tiga juta pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun ini.
Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada promosi ‘Beautiful Terengganu’ dan kempen lain yang giat dilakukan kerajaan negeri.
“Kita juga dapat lihat sendiri keunikan dan kecantikan Negeri Terengganu dengan pelbagai tarikan yang ada di sini,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Dataran Jambatan Angkat, di sini semalam.
Tambah Ismail Sabri lagi, beliau turut berbangga dengan pembangunan sektor pelancongan di Terengganu.
“Negeri ini terkenal dengan keunikan makanan serta kaya dengan budaya, ia pasti menjadi destinasi pelancong dalam dan luar negara.
“Jadi mari lah kita pakat mari ke Terengganu, negeri cantik, budaya menarik, orangnya pula baik-baik belaka,” katanya.