Home Berita PAS Terengganu

Demokrasi Pak Pandir

74
SHARE

Ilmuwan politik Barat menguar-uarkan slogan demokrasi purba yang menjadi kebanggaan mereka:

Vox populi, vox dei
“Suara rakyat ialah suara Tuhan.”

Slogan tersebut merupakan reaksi terhadap pemerintahan beraja yang zalim berslogankan:

Vox rei, vox dei
“Suara raja ialah suara Tuhan.”

Teori politik Barat juga mengenali ideologi yang dinamakan teokrasi, iaitu suatu bentuk kerajaan yang memiliki kuasa ketuhanan dalam mentadbir negeri, sama ada dalam bentuk jelmaan manusia, atau selalunya melalui wakil institusi keagamaan (seperti gereja atau kuil). Golongan agamawan daripada kalangan para paderi atau sami mengambil tempat atau mendominasi kerajaan yang meletakkan diri mereka berkuasa dengan kuasa Tuhan, lalu mengada-adakan hukum yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

﴿ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ٣١﴾

“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan selain Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih (‘Isa) putera Maryam, padahal mereka hanya diperintahkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Tawbah: 31)

Islam membawa konsep wasatiyyah yang berkonsepkan adil terhadap semua, sekali gus menolak ketiga-tiga teori tersebut (demokrasi purba, monarki dan teokrasi).

Islam hanya menerima pemerintah yang adil, seperti bersumberkan monarki (raja) dengan meletakkan syarat beraqidah dan berakhlak serta secara khusus berlaku adil. Pada masa yang sama, menerima hak rakyat untuk berkuasa dengan syarat bersifat adil juga, dan semuanya tidak mempunyai kuasa mutlak termasuk para agamawan.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah, taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Nabi Daud AS ialah khalifah yang dilantik dalam kalangan rakyat, manakala Nabi Sulaiman AS pula dilantik menjadi raja berdasarkan kepada keturunan. Selain itu, Zulqarnain juga ialah seorang raja adil yang disebutkan ceritanya dalam al-Quran.

Al-Quran menolak kalangan raja yang zalim seperti Namrud dan Firaun, begitu juga menolak para pemimpin rakyat yang dinamakan sebagai golongan al-Mala’ yang zalim dan menipu rakyat. Malah, al-Quran juga menolak para agamawan dan dianggap tidak maksum (terpelihara daripada dosa) seperti para rasul, sekalipun mereka mewarisi ilmu agama daripada para anbiya’.

Islam juga menegaskan bahawa dalam perkara yang tidak dapat dicapai oleh kemampuan akal manusia, maka ditetapkan nas yang tiada pilihan lain melainkan ketetapan Allah SWT seperti soal halal dan haram. Perkara ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا١٠٥﴾

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah kamu menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’:105)

Di sana, terdapat banyak perkara yang diberikan hak kepada ilmu dan akal manusia yang diizinkan oleh Allah SWT, maka mereka digalakkan sentiasa bermesyuarat dan menerima nasihat. Firman Allah SWT:

﴿فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ١٥٩﴾

“Maka, disebabkan rahmat (yang melimpah-ruah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), kamu telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu). Sekiranya kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian, apabila kamu telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk melakukan sesuatu), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran: 159)

Dan Rasulullah SAW bersabda:

‌الدِّينُ ‌النَّصِيحَةُ. ‌قُلْنَا: ‌لِمَنْ؟

“Agama itu nasihat. Kami (para sahabat) bertanya: Bagi siapa (nasihat itu) wahai Rasulullah?

قَالَ: لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ.

Sabdanya: Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin dan orang ramai.” (Riwayat Muslim 55, Abu Dawud 4944 dan lain-lain)

Rasulullah SAW melaksanakan konsep wasatiyyah tersebut sewaktu Baginda memimpin negara yang bermula di Madinah. Raja al-Najasyi, Raja Masqat dan Oman kekal bertakhta apabila mereka menerima Islam yang adil.

Rasulullah SAW menerima para pemimpin kabilah yang menerima Islam yang adil dengan mengekalkan mereka menjadi pemimpin. Hal ini disebutkan oleh sabda Baginda SAW:

‌خِيَارُهُمْ ‌فِي ‌الجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلَامِ، إِذَا فَقِهُوا.

“Orang-orang yang terpilih pada masa jahiliah ialah orang yang juga terpilih pada masa Islam sekiranya mereka mengerti (Islam).” (Riwayat al-Bukhari 3493, Ahmad 7496 dan lain-lain)

Rasulullah SAW menghadapi tentangan daripada semua pihak yang zalim, termasuklah kuasa besar pada zamannya iaitu Rom dan Parsi. Sehinggakan, semua pihak yang menentang perjuangan Baginda dapat dikalahkan.

Demokrasi moden di Barat yang berubah daripada konsep demokrasi purba sebenarnya banyak dipengaruhi oleh fiqh politik Islam yang melaksanakan konsep syura. Khususnya dalam aspek pemilihan ketua negara dan pentadbirannya selepas kewafatan Rasulullah SAW ketika era kepimpinan empat Khulafa’ al-Rasyidin RA dan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz RA yang adil pada zaman Umawiyyah.

Namun, konsep sekularisme yang memisahkan politik daripada agama dari sudut aqidah dan akhlaknya menjadikan demokrasi itu semakin tempang. Sehinggakan, keadaan tersebut memaksa rakyat menjadi Pak Pandir yang disebutkan dalam cerita lucu orang Melayu.

Dalam cerita panjang Pak Pandir yang pernah saya baca ketika persekolahan peringkat rendah dahulu, terdapat satu peristiwa Pak Pandir menyeberang alur sungai melalui sebatang titi kayu yang reput. Hal ini demikian kerana, dia melihat betapa ramainya semut yang meniti titi kayu itu.

Kata Pak Pandir:

“Kalau semut yang ramai jumlahnya boleh meniti kayu itu, aku yang hanya seorang sahaja pasti boleh menitinya juga.”

Akhirnya, Pak Pandir jatuh ke dalam sungai lalu badannya basah kuyup kerana kayu yang dipijaknya patah akibat tidak dapat menahan badan Pak Pandir yang lebih berat berkali ganda daripada semut yang ramai.

Begitulah demokrasi moden yang dicemari dengan rasuah, politik wang, pembohongan sewaktu berkempen yang menggoda suara majoriti masyarakat yang tidak berakal sempurna dan tidak berilmu. Mereka dikerah menjadi penyokong dan pengundi berslogankan ‘suara rakyat, suara Tuhan’ atau ‘suara rakyat, suara keramat’.

Al-Quran membawa cerita semut yang lebih bijak daripada manusia dalam menjaga kaum yang menjadi bangsanya. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ١٨ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكٗا مِّن قَوۡلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّٰلِحِينَ١٩﴾

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Wadi al-Naml (Lembah Sodir), berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut! Masuklah ke sarang kamu masing-masing, agar kamu semua tidak dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari. (18); Maka, Nabi Sulaiman tersenyum mendengar kata-kata semut itu. Dan berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! Ilhamkanlah kepadaku supaya tetap bersyukur akan ni‘mat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku dengan limpahan rahmat-Mu dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.’ (19)” (Surah al-Naml: 18-19)

Para ulama’ tafsir menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS yang diberikan mukjizat mampu memahami bahasa binatang memanggil raja semut dan bersabda:

لم حذرت النمل؟ هل سمعتم إني ظالم؟ أما علمتم أني نبي عدل؟ فلم قلت لا يحطمنكم سليمان وجنود.

“Mengapa kamu memberikan amaran kepada rakyatmu? Adakah kamu mendengar bahawa aku adalah seorang yang zalim? Adakah kamu tidak tahu bahawa aku adalah Nabi (yang diutuskan oleh Allah) yang wajib bersifat dengan adil? Dan kenapa kamu mengatakan (kepada semut yang lain) jangan dibiarkan Sulaiman dan tenteranya memijak dan membinasakan kalian?”

قالت النملة: يا نبي الله أما سمعت قولي وهم لا يشعرون.

Berkata raja semut: “Wahai Nabi Allah, adakah engkau tidak mendengar ucapanku, ‘Mereka tidak menyedari kedatanganmu.’” (Abu Ishaq al-Tsa’labi, Qasas al-Anbiya’, ms. 325-326)

Demikianlah Allah SWT membawa cerita pengajaran bagaimana binatang juga menjaga keselamatan kaum masing-masing. Akan tetapi, terdapat manusia yang berakal yang tidak menggunakan akalnya semata-mata kerana mengejar pangkat dan harta, sehingga sanggup merosakkan dan membodohkan kaum atau bangsanya sendiri.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Dan firman Allah SWT:

﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾

“Allah menganugerahkan hikmah (kefahaman yang mendalam) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang dianugerahkan hikmah itu, maka sesungguhnya dia benar-benar telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan daripada ayat Allah).” (Surah al-Baqarah: 269)

Sabda Rasulullah SAW:

‌الْحِكْمَةُ ‌ضَالَّةُ ‌الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, maka di mana sahaja ia didapati maka dialah yang paling berhak mengambilnya.” (Riwayat al-Tirmizi 2687 dan Ibn Majah 4169)

Islam menegaskan betapa memilih pemimpin menjadi suatu perkara yang akan dipersoalkan pada Hari Kiamat kelak. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا٧٢﴾

“(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama pemimpinnya; kemudian sesiapa yang diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dianiayai sedikit pun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (hatinya), maka dia juga akan lebih buta di akhirat dan lebih sesat dari jalannya (yang benar). (72)” (Surah al-Isra’: 71-72)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 21 Syawwal 1443 / 22 Mei 2022