Oleh: ROSLINA NOR
LUMUT, 28 April : Muafakat Wanita Islam Manjung (MAWIM) dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Lumut telah menganjurkan jualan amal pakaian terpakai bertempat Pasar Pagi Batu 10 Lekir, di sini baru-baru ini.
Jualan yang bermula jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi dibantu oleh beberapa orang Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut yang diketuai oleh Rohawati Abidin.
Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Lumut, Habibah Rasdi yang turut hadir menyantuni pengunjung berkata dengan harga murah yang ditawarkan mampu memberi rasa kepuasan kepada pembeli untuk menggayakannya di pagi raya nanti.
“Pakaian ini semua adalah sumbangan orang ramai di sekitar Lumut untuk dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan,
“Manakala, hasil jualan yang diperolehi ini akan digunakan untuk tujuan aktiviti-aktiviti kebajikan,” ujarnya yang juga merupakan ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 15.
Salah seorang pembeli dari Kampung Sungai Tiram,Batu 10 Lekir, Noreah Hasanuddin berkata, usaha ini perlu diteruskan untuk memberi peluang kepada penduduk yang kurang berkemampuan memiliki pakaian yang cantik bagai baharu dibeli terutama untuk menyambut hari raya yang bakal menjelma.
Turut hadir dalam program tersebut AJK PAS Kawasan Lumut, Mohd Yamin Mat Saman dan Osman Ahmad.