Home Berita PAS Pahang

Dua letupan kuat gegar Permatang Badak ketika penduduk sedang qiamullail

3390
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

KUANTAN, 28 Apr :: Dua letupan kuat menggegarkan Permatang Badak Perdana 2 dan sekitarnya dekat sini pada kira-kira pukul 3.10 pagi tadi menggemparkan penduduk sekitar yang sebahagiannya sedang qiamullail (solat malam) dan beriktikaf di masjid manakala yang di rumah sedang bersiap-siap untuk bersahur.

Pasukan Bomba dan Penyelamat telah berkejar ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan mendapati satu kebakaran sedang berlaku melibatkan dua buah rumah yg bercantum (semi D).

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, seorang kanak-kanak lelaki berumur sekitar 2 tahun dijumpai rentung manakala 5 orang cedera melibatkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 bulan.

Beliau turut menerima laporan telah berlaku dua letupan yang kuat dan ada saksi yang menyebut telah mendengarnya sehingga 10 kilometer.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa yang tiba ditempat kejadian sejurus kemudian memberitahu dalam satu sidang media di situ bahawa 2 unit rumah itu telah musnah keseluruhan bukan disebabkan oleh kebakaran sahaja tetapi oleh letupan.

“Apa yang kita sedang melihat (siasat) sekarang ialah mengapa terjadi begitu kuat letupan. Kita ada terjumpa silinder gas tetapi ada juga dijumpai bunga api.

“Kalau betul bunga api atau mercun, banyak mana kapasitinya sehingga boleh menyebabkan kejadian letupan yang teruk itu. Letupan ini dikira agak dahsyat. Semua ini kita sedang siasat secara menyeluruh dan belum dapat disahkan,” kata beliau.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya yang sebelum itu dibawa masuk ke tapak kawasan kejadian untuk diberi taklimat.

Beliau turut mendapati sebuah kenderaan hangus dan dua lagi rosak teruk.

Beliau kemudiannya dibawa melawat ke beberapa buah rumah sekitar kejadian yang turut terkesan dan rosak disebabkan letupan itu, antaranya rumah milik Fadhlullah Sulaiman yang jaraknya 200 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, walaupun rumahnya agak jauh, tapi kerosakan adalah teruk di mana semua kaca tingkap di bahagian kanan rumahnya pecah berderai dan sebahagian siling jatuh.

Anak beliau, Saiful Amri pula menjelaskan beliau sekeluarga amat terkejut dengan bunyi dua letupan yang sangat kuat diikuti bunyi kaca tingkap pecah berderai dan siling runtuh, kemudian mendapati rumah jirannya terbakar.