Saban tahun kita menyambut Hari Nuzul Quran pada 17 Ramadan, bahkan beberapa negeri menjadikannya cuti umum bersempena sambutannya.
Namun demikian, penghayatan terhadap Al-Quran itulah sebenarnya yang lebih utama, bukan sekadar sambutan semata-mata.
Al-Quran, kalam Allah SWT yang menjadi mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW menjadikan bulan Ramadan itu mulia kerana padanya diturunkan Al-Quran, sehingga hanya Ramadan sahaja satu-satunya bulan yang disebut di dalam Al-Quran.
Kita juga sebagai hambaNya dijanjikan melalui hadis Nabi SAW, akan kemuliaan menjadi ahlulllah dengan kita bersama erat dengan Al-Quran, baik yang menghafaz, membaca, mendengar mahupun mencintai dan mendukung apa sahaja usaha untuk meninggikan kalam Allah iaitu Al-Quran.
Itulah kemuliaan sebenar yang perlu kita cari dan raih, dan bukanlah kemuliaan sementara di dunia yang hanya akan menyesatkan kita.
Benarlah pesanan Rasulullah SAW menerusi sabda baginda :
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.
Di kesempatan ini, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) dan seluruh saff kepimpinan mengucapkan Salam Nurul Quran 1443H kepada seluruh umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.
Semoga sambutan Nuzul Quran kali ini menjadikan kita lebih membaca Al-Quran, memahami dan menghayati, serta mengamalkannya.
“Islam Menyatukan Ummah”
“Wilayah Sejahtera”
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan
18 April 2022 l 16 Ramadan 1443H