Home Melaka

Bicara seni | Pok Ya Cong Codei – Karya Sabri Yunus papar kisah gengster yang ‘real’.

1453
SHARE

Mka Bicara Seni

Oleh IBNU JANIE

SEKARANG ini trending drama bersiri karya terbaru Sabri Yunus berjudul ‘Pok Ya Cong Codei – Memburu Siti’. Drama ini sebenarnya adalah sekuel kepada beberapa telemovie yang bermula dengan Pok Ya Cong Codei (2018) yang turut dibintangi Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim.

Sama seperti karya-karya beliau sebelum ini, ‘Pok Ya Cong Codei – Memburu Siti’ terus mengekalkan bisa Sabri Yunus sebagai seorang penerbit, pengarah dan pelakon yang bertaraf ‘lejen’. Turut ditampilkan dalam sekuel ini ialah Eman Manan yang membawa watak Muda Primula selain rakan drama lagenda Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Angeline Tan sebagai Mrs Liew.

Tangkap layar daripada drama Pok Ya Cong Codei Memburu Siti – (Kredit Youtube)

Pada pandangan penulis, satu yang menarik pada karya-karya Sabri Yunus ialah perwatakan dan adegan-adegan dalam filem-filem atau drama-drama beliau dibuat secara ‘real’ sebagai gambaran apa yang berlaku dalam dunia gengster sebenar dan bukan tokok tambah untuk menimbulkan kesan dramatik.

Jika kita pernah menonton filem Dollah Superstar (2014) lakonan Awie kita akan dapati bahawa filem itu membawa satu kritikan terhadap lakonan dan pembawaan watak filem-filem dengan genre gengster yang sebenarnya tidak menggambarkan suasana sebenar yang berlaku di dunia luar.

Dalam filem itu watak seorang gengster, Dollah Rimau lakonan Awie secara tak sengaja bertemu dengan seorang pelakon, Shah Dazzle, lakonan Sharnaaz Ahmad, yang sedang berlakon satu watak gengster. Dollah banyak mempertikaikan bahawa banyak yang mereka lakukan tidak sama dalam dunia gengster sebenar.

Antaranya, kata Dollah, banyak berlaku dalam filem seseorang gengster memakai jaket kulit dan rambut pula diwarnakan. Padahal, menurut Dollah dalam dunia sebenar gengster hanya memakai baju pagoda dan seluar pendek sahaja!

Memang benar, di dalam filem biasanya sesuatu itu akan dilakonkan dengan tokok tambah daripada cara di dunia sebenar untuk menjadikan sesuatu itu lebih menarik. Sebab itu ada istilah ‘dramatik’.

Seperti mana kita melihat gerak pertarungan Kung Fu dalam filem-filem Jackie Chan, Jet Li dan sebagainya, ia dilakonkan begitu menarik. Kita melihat bagaimana setiap pukulan, tepisan, elakan yang sambung-menyambung dan berseni. Tetapi bolehkah aksi itu berlaku dalam pertarungan sebenar? Sebenarnya tidak dalam realiti.


Rencana asal.di Harakah cetak 1 April 2022

Tidak dapat dinafikan pengarah-pengarah filem memang terpaksa melakukan aksi yang ditokok tambah untuk menarik minat orang ramai untuk menonton sesuatu filem. Mungkin penonton pun tahu hal ini.

Namun kebanyakan penonton mungkin memang mahukan yang ditokok tambah agar lebih menarik walau pun mereka tahu ia tidak realistik, asalkan mereka terhibur bila menontonnya. Ia sama seperti orang menonton gusti yang tahu bahawa itu hanya lakonan, namun mereka terhibur.

Sungguh pun begitu, sampai satu peringkat sesetengah penonton juga ingin melihat sesebuah karya yang lebih realistik. Yang menggambarkan suasana sebenar. Umpama sesetengah peminat lagu yang suka mendengar penyanyi pujaan mereka menyanyi secara ‘live’ untuk mereka tahu suara sebenar penyanyi itu berbanding suara rakaman yang boleh dibega-bega dengan teknologi.

Jadi jika anda ingin melihat filem gengster yang benar-benar menggambarkan situasi sebenar anda perlu menonton filem-filem karya Sabri Yunus, kerana daripada penilaian penulis, memang aksi-aksi yang ditonjolkan itu adalah apa yang kita boleh lihat dalam dunia gengster sebenar.

Sebagai salah seorang peminat karya-karya Sabri, penulis memang mengikuti dan menonton filem-filem atau drama-drama lain arahan atau lakonan beliau.

Tangkap layar daripada drama Pok Ya Cong Codei Memburu Siti – (Kredit Youtube)

Perwatakan gengster yang realistik ini turut dapat dilihat dalam beberapa telemovie atau drama-drama beliau sebelum ini seperti Vespa Sarip Dol (2013) dan Karya 12- Pangkalan Batu Enam (2016), yang turut dilakonkan oleh Remy Ishak dan pelakon jelita Nur Fathia Latiff.

Dalam drama-drama Sabri Yunuslah kita dapat melihat gengster pakai t-shirt biasa dan berseluar pendek atau seluar jeans lusuh dan bukannya memakai jaket kulit, rambut mohawk yang diwarnakan dan berantai leher besar seperti kata watak Dollah Rimau dalam filem Dollah Superstar.

Dan jika kita menonton atau membaca latar belakang Sabri, sebenarnya beliau pun bukan ‘calang-calang’ orang juga. Mungkin kerana itu bagi penulis beliau dapat menghasilkan karya-karya yang cukup real ini berdasarkan latarbelakang sebenar beliau.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Tangkap layar daripada drama Pok Ya Cong Codei Memburu Siti – (Kredit Youtube)