Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Patuhilah Syariat dan Tatasusila Bangsa dalam Berkarya

74
SHARE

Islam agama yang meraikan seni tetapi tetap mementingkan peradaban, tatasusila dan sentiasa menjaga maruah insani.

Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia (LPK DMPM) menyifatkan adegan panas dalam drama ‘Perempuan Itu’ lakonan pelakon tempatan yang dimuat naik dalam laman instagram adalah jauh tersasar daripada nilai- nilai agama dan adab timur.

Ia menunjukkan sikap tidak prihatin pihak yang terlibat dengan drama ini terhadap sensitiviti agama dan budaya negara. Adegan tersebut langsung tidak sesuai dengan masyarakat dan keluarga Malaysia, malahan amat keterlaluan apabila dijangka akan disiarkan pada Ramadan kali ini. Ia tidak wajar untuk menjadi tontonan keuarga Malaysia dan boleh merosakkan pemikiran anak muda. LPK DMPM meminta agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya.

LPK DMPM juga bersyukur kerana adegan tersebut mendapat perhatian warganet yang melahirkan ketidakpuasan hati dengan babak yang keterlaluan dan lucah tersebut. Ia menunjukkan masyarakat masih peka dengan landasan syariat Islam dan tatasusila masyarakat timur.

LPK DMPM menyeru semua karyawan seni agar berkarya dengan prinsip, memelihara syariat dan budaya negara yang penuh dengan tatasusila. Berwaspadalah dalam berkarya supaya ia tidak melanggar batas syariat dan merosakkan kesantunan bangsa.

Seni sifatnya indah dinikmati, menjadi penyeri menghidupkan hati, menjadi cetusan mendidik dalam masyarakat. Bukanlah seni namanya jika menghancurkan, terpesong daripada pedoman iman dan merosakkan pemikiran anak bangsa. Sama-samalah kita kembali kepada asas syariat dan kesantunan adab timur.

‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’
‘Islam Menyatukan Ummah’

YB Dato’ Hajah Siti Ashah binti Hj Ghazali
Pengerusi Lajnah Pembangunan Keluarga
Dewan Muslimat PAS Malaysia
23 Mac 2022 | 20 Syaaban 1443H