Oleh: HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 23 Mac :: Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan, Gebeng Job Fair antara program yang menarik pada hujung minggu ini anjuran Pusat Khidmat DUN (PKD) Beserah.
Pada 26 Mac 2022 ia akan diadakan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan di Gebeng mulai jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, manakala pada 27 Mac 2022 di Skill Development Centre Pahang (PSDC) Semambu mulai jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu berkata program ini diadakan melihat kepada dua situasi.
Situasi pertama, pihaknya kerap menerima aduan daripada masyarakat setempat yang telah kehilangan pekerjaan untuk kelangsungan hidup, maka sayugia mereka ini dibantu untuk mendapatkan pekerjaan.
Situasi kedua, kilang-kilang yang beroperasi sebelum ini agak perlahan ataupun mereka menggunakan pekerja asing, namun selepas PKP operasi mereka kembali rancak menjadikan keperluan kepada tenaga kerja meningkat dan peluang keemasan dibuka kepada pekerja tempatan.
“Berasaskan kepada dua perkara itu dan kebetulan pula syarikat-sayarikat yang melabur di Gebeng ini kebanyakannya memang sedang mencari pekerja kerana permintaan untuk perniagaan telah dibuka semula dan sebagainya, mereka perlukan pekerja yang agak ramai.
“Kita kena lihat positifnya adalah untuk nak menghalang syarikat-syarikat begini mengambil pekerja asing maka pekerja tempatan perlu mengisi kekosongan ini. Kalau tidak ia akan menjadi sukar untuk nak menyekat syarikat-syarikat ini dari mengambil pekerja asing kerana mereka mesti beroperasi,” tegas Andansura Rabu.
Beliau seterusnya menyeru kepada masyarakat setempat khasnya dan serluruh rakyat negeri Pahang yang sedang mencari pekerjaan dapat mengambil peluang ini dari kelayakan SPM hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk hadir ke program ini.
Atas inisiatif ini, PKD Beserah mengambil peluang mengadakan program ini bersama dengan PERKESO, East Coast Economic Region Development Council (ECER) dan beberapa institusi pendidikan yang berhampiran.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) Ahmad Azlan Abu Bakar mewakili PASKIM berkata, program ini sangat membantu rakyat mencari peluang pekerjaan dan membantu majikan mencari pekerja sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam fasa-fasa negara menuju endemik ini.