Home Melaka

Pena editor Melaka | Pengawal keselamatan rogol ada kes lampau – bagaimana tapisan?

314
SHARE

BARU-BARU ini kecoh apabila berlaku kejadian seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Jalan Bandar Tun Razak yang disyaki cuba merogol, membunuh dan kemudiannya membakar mayat mangsa. Mayat mangsa ditemui di dalam sebuah bilik yang terbakar di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dalam sidang media berkaitan kes ini berkata, suspek yang berusia 30-an itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan seksual.

Tugas sebagai pengawal keselamatan ini sudah tentu memerlukan seseorang itu berintegriti dan memiliki moral yang tinggi. Mereka akan menjaga harta dan nyawa orang lain yang berada di bawah pantauannya. Dia juga mempunyai akses kepada rahsia-rahsia premis di bawah jagaannya.

Jika pengawal keselamatan itu adalah seorang penjenayah, perogol, pencuri, penyamun, perompak dan segala jenis pelaku jenayah lagi bagaimana mereka boleh menjalankan tanggungjawab yang sulit ini?

Sebelum ini negara pernah digemparkan dengan kes seorang pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai bank tempat dia bertugas untuk merompak wang bank itu. Dan beberapa kejadian lagi kecurangan pengawal keselamatan.

(Kredit tangkap layar: portal MStar.com.my)

Setahu penulis untuk mengambil seseorang pengawal keselamatan sesebuah syarikat pengawal keselamatan itu perlu untuk membuat semakan kes-kes jenayah lampau seseorang pemohon jawatan ini.

Malah, setahu penulis, mana-mana majikan yang ingin mengambil pekerja untuk apa-apa jawatan sekali pun boleh membuat semakan rekod jenayah pemohon kepada pihak polis.

Ia sebenarnya menimbulkan tandatanya adakah sistem pengambilan pengawal keselamatan yang sebenarnya ketat telah tidak dipatuhi?

Jadi, apa sudah jadi dengan sistem saringan dan tapisan untuk pengawal keselamatan ini? Adakah sistem saringan ini sebenarnya tidak wajib dan sukarela sahaja?

Atau mungkinkah ada isu kesukaran untuk mendapatkan calon-calon yang ingin memohon jawatan ini sehingga syarikat-syarikat pengawal keselamatan terpaksa menerima sesiapa sahaja tanpa membuat semakan latarbelakang pemohon?

Bagi penulis isu ini perlu ditangani secara holistik dan bukan hanya melihat secara ‘kes demi kes’ sahaja.

Perlu ada penyelesaian terhadap isu pengawal keselamatan bermasalah ini. Jika memang ada sistem saringan dan tapisan, ia perlu dikuatkuasakan dengan tegas tanpa kelompangan.

Jika memang ada masalah dari segi kekurangan calon-calon pengawal keselamatan maka ia juga perlu diatasi agar tidak berlaku situasi tangkap muat.

Selain itu penulis juga berpendapat perlu ada sebuah badan yang mengawal kualiti dan kecekapan pengawal-pengawal keselamatan ini dari semasa ke semasa. Ia umpama badan yang memberi pengesahan bahawa seseorang pengawal keselamatan itu ‘fit’ untuk bekerja.

Jangan sampai tragedi seperti ini berulang lagi… dan lagi… dan lagi…

IBNU JANIE
• Editor Berita PAS Melaka
• Ketua Editor Berita PAS Pusat