MERSING – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Roslan Nikmat atau Cikgu Lan tidak menunggu lama bagi menyelesaikan rungutan penduduk apabila melakukan beberapa tindakan awal.
Cikgu Lan berkata, tiga masalah utama yang dihadapi penduduk DUN Tenggaroh iaitu masalah kerosakan jalan, jalan gelap dan masalah paip bocor.
Katanya, beban itu sudah lama ditanggung penduduk walaupun parti sama memerintah DUN berkenaan.
“Susulan masih tiada perubahan hingga hari ini, saya telah mengambil beberapa tindakan awal.
‘’Saya mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari solusi, namun terpaksa ditunda kerana staf berkaitan hal itu dikuarantin. bagi menyelesaikan masalah isu jalan yang berlaku.
“Pertemuan kedua akan dilakukan bagi mendapatkan info dan status tentang baik pulih jalan raya di DUN Tenggaroh,” jelasnya kepada pemberita semalam.
Mengulas mengenai isu lampu jalan, beliau berkata pihaknya telah berjumpa TNB untuk menyampaikan hasrat permasalahan lampu jalan.
“Beberapa kata putus juga diperoleh daripada pihak kontraktor yang mengendalikan pemasangan tiang lampu,” ujarnya.
Beliau menambah, perjumpaan turut diadakan bersama pegawai bahagian perkhidmatan Ranhill SAJ (Syarikat Air Johor) di Jalan Terenggong, Mersing.
“Kata akhir daripada perbincangan ialah pihak Ranhill SAJ (Syarikat Air Johor) meminta untuk dihantar surat kepada pengurus operasi untuk tindakan selanjutnya.
“Saya berharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk DUN Tenggaroh yang berlaku hampir empat penggal pilihan raya,” jelasnya.