Home Berita PAS Johor

Isteri tunggak kekuatan suami

335
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 11 Mac : Sempena Hari Wanita pada lapan Mac, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun ini memilih tema “Saksama Bersama”.

Tema dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama agar potensi wanita dapat dioptimumkan sebaik mungkin.

Usaha itu untuk mengangkat martabat wanita bersama-sama mengembangkan potensi diri dalam semua bidang terutama aspek kepimpinan.

Namun, kita juga tidak harus lupa peranan utama seorang wanita sebagai isteri yang berada di sisi suami. Seorang isteri mempunyai tugas yang penting membantu suami dalam semua aspek.

“Sebagai seorang isteri, peranannya adalah membantu suami dengan mencontohi isteri Rasulullah yang banyak menyokong gerak kerja suami khususnya bidang dakwah,” menurut Cikgu Mazaidah Md Jee ketika diminta pandangannya sempena Hari Wanita 2022.

Beliau yang merupakan isteri kepada calon N15 Maharani, Cikgu Abd Aziz Talib mengambil contoh cara hidup isteri Rasulullah sebagai role model.

“Sebagai isteri kepada calon, saya juga memainkan peranan membantu gerak kerja suami. Tanggungjawab semakin tinggi kerana melibatkan masyarakat.

“Saya menjadikan diri saya tunggak kekuatan suami dengan menyokongnya dengan cara menjaga dan mengawal emosinya, menjaga keperluan hariannya dan yang penting menjaga hubungan suami isteri sebaik mungkin.

“Apatah lagi dalam keadaan suasana kini yang penuh dengan tekanan dan cabaran. Tanggungjawab semakin besar. Tanpa sokongan isteri, suami akan mudah tertekan,” tambah Mazaidah lagi.

Menurut pesara guru yang sentiasa bersama suami membantu kerja-kerja kemasyarakatan melalui NGO Kasih Maharani, kejayaan seorang suami di belakangnya adalah sokongan dari isterinya. Malah kadangkala, kejatuhan seorang pemimpin juga berpunca daripada seorang isteri.

Beliau yang mahir berpantun mengakhiri kata dengan sebuah pantun,

Pergi ke surau pakai jubah,
Banyakkan selawat semasa melangkah,
Kita semua mesti berani berubah,
Kali ini Perikatan Nasional kita pangkah.

Sempena Hari Wanita, petugas kempen N15 Maharani turut mengedarkan bunga kepada frontliner dan penduduk sekitar Dun Maharani.