Home Berita PAS Perlis

Desakan murtad tindakan biadap – Mufti Perlis

338
SHARE

 

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 9 Mac: Desakan pihak-pihak tertentu agar anak-anak Loh Siew Hong dimurtadkan kembali adalah amat biadap.

Tegas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pihak berkenaan jelas cuba mengambil kesempatan atas kelompangan yang berlaku, dengan mengubah naratif sebenar isu terbabit.

“Memaksa kanak-kanak ini keluar agama, seperti kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh sebahagian peguam yang bukan Islam, dan segelintir kelompok yang mengaku kononnya ‘Rahmat Sekalian Alam’ ini (kononnya mereka dipaksa menganut Islam).

“Ini ialah kenyataan yang begitu biadap terhadap akidah orang Islam.

“Di dalam negara orang Islam sendiri, orang boleh kata suruh orang Islam keluar agamanya, itu maksudnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum bertajuk ‘Mempertahankan Aqidah Tiga Kanak-Kanak Mualaf – Tanggungjawab Siapa ??’ anjuran bersama NGO Gerakan Pembela Ummah dan One Centre Malaysia Perlis yang berlangsung di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini semalam.

Dedah Asri lagi, pihak berkenaan juga turut mengelirukan masyarakat dengan tuduhan berat bahawa kanak-kanak tersebut telah diculik dan diislamkan secara paksa oleh Majlis Agama Islam Perlis.

Tambah malang katanya, ada segelintir umat Islam yang turut sama menyokong pihak terbabit tanpa mendapat gambaran sebenar.

“Sebahagian mereka itu, cakap pun tak betul, mereka kata kanak-kanak ini (berasal) daripada Perlis, dalam nak jadi khadam DAP pun, semaklah maklumat dulu.

“(Kata mereka) Islam tak benarkan paksa menganut Islam, Islam tak benarkan memisahkan kanak-kanak daripada ibunya.

“Siapa yang pisahkan? Ini semua dakwaan daripada berapa kerat pemimpin DAP, yang sebenarnya yang kita kata (perjuangkan), mereka (kanak-kanak tersebut) mesti dikekalkan agama yang mereka pilih,” ujarnya.