Oleh IBNU JANIE
PENULIS ingat lagi sekitar tahun 1994 penulis mencari kerja sebagai operator pengeluaran kilang sementara menunggu keputusan SPM keluar. Pada masa itu gaji operator pengeluaran adalah sekitar RM300 sebulan.
Kadar gaji ini juga lebih kurang sama dengan pembantu jualan di pasar-pasar raya dan yang setaraf dengannya. Pada masa itu gaji bagi jawatan berijazah pula ialah sekitar RM1200 ke RM1500 sebulan.
Pada tahun 2000 semasa penulis mula bekerja selepas mendapat ijazah, gaji operator pengeluaran dan pembantu jualan pasar raya ialah sekitar RM450 ke RM600 sebulan. Pada masa itu juga gaji bagi jawatan berijazah ialah antara RM1500 ke RM2000 sebulan.
Penetapan skim gaji minimum bagi Malaysia mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2014 dengan kadar RM900 sebulan. Selepas pelaksanaan gaji minimum itu, gaji bagi graduan adalah sekitar RM1800 ke RM2200. Gaji minimum telah dinaikkan beberapa kali dengan kenaikan terakhir ialah pada Februari 2020 menjadi RM1100 sebulan.
Penulis masih ingat lagi pada masa ia mula-mula dilaksanakan, menteri berkaitan pada masa itu mengatakan bahawa kenaikan itu hanya melibatkan jawatan yang bergaji di bawah RM900 sahaja. Kenyataan dangkal ini tidak mengambil kira kesan berkait tangga jawatan yang ada dalam sesebuah syarikat.
Sebagai contoh, katalah sebelum perlaksanaan gaji minimum itu, di sebuah kilang, gaji bagi jawatan operator pengeluaran ialah RM600 sebulan, gaji bagi jawatan kerani ialah RM800, gaji bagi jawatan penyelia pula ialah RM1000 sementara gaji bagi jawatan Eksekutif pula ialah RM1300 sebulan.
Apabila gaji minimum dilaksanakan ini bermakna gaji operator pengeluaran akan jadi RM900. Gaji kerani pula pasti akan naik lebih tinggi daripada operator pengeluaran, mungkin RM1100.
Walau pun hanya gaji operator pengeluaran dan kerani sahaja yang pada awalnya di bawah RM900, namun tidak mungkin gaji penyelia yang asalnya RM1000 kekal sedangkan gaji kerani pun sudah jadi RM1100 berdasarkan contoh tadi.
Jadi, gaji penyelia juga perlu naik, mungkin RM1300. Pada masa ini gaji Eksekutif juga perlu naik. Akhirnya semua struktur gaji perlu naik.
Kadar gaji minimum RM900 pada permulaan perlaksanaannya sebenarnya adalah sangat tinggi dan merupakan satu kejutan besar kepada pemain-pemain industri dan memberi kesan menyeluruh pada operasi perniagaan.
Baru-baru ini pula Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengumumkan bahawa kerajaan akan menetapkan gaji minimum yang baharu menjelang hujung tahun ini pada nilai sekitar RM1500 sebulan.
Apabila berlaku kenaikan pada gaji minimum, kesannya ialah pada kadar gaji graduan. Kerana itu kita dapat lihat bahawa pada tahun-tahun sebelum perlaksanaan gaji minimum, gaji seorang graduan adalah antara 250 hingga 300 peratus lebih tinggi daripada gaji operator pengeluaran. Namun selepas pelaksanaan gaji minimum gaji graduan hanya sekitar 80 ke 110 peratus sahaja lebih tinggi daripada gaji minimum.
Akibat menanggung jumlah kos gaji bukan graduan yang meningkat tinggi menyebabkan majikan memperlahankan pergerakan gaji graduan.
Ini ditambah dengan tidak ada skim gaji minimum untuk graduan. Jadi tidak menjadi kesalahan pun jika majikan meletakkan gaji operator pengeluaran pada RM1100 sementara gaji eksekutif pada kadar RM1600.
Jangan salah faham. Penulis bukan mahu mencadangkan agar dikuatkuasakan pula skim gaji minimum untuk graduan. Penulis konsisten semenjak daripada awal ia mula dilaksanakan lagi penulis sudah berpegang bahawa skim gaji minimum bukan jalan penyelesaian kepada isu kos sara hidup yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat.
Pelaksanaan gaji minimum ini sebenarnya telah menyebabkan berlaku huru-hara kewangan yang sangat besar kepada kebanyakan syarikat. Tanpa kita sedar inilah yang sebenarnya menjadi punca kenaikan harga barang yang berpanjangan.
Selagi berlaku situasi pemaksaan kenaikan gaji minimum dalam keadaan ia berlaku tanpa mengikut ukuran produktiviti maka selagi itu ia akan terus meningkatkan kos sara hidup dan kenaikan inflasi secara sambung-menyambung.
Jalan penyelesaian kepada masalah gaji dan kos sara hidup ialah gaji berasaskan produktiviti. Baru ia seimbang dan tidak menghasilkan inflasi, malah akan menyebabkan seseorang pekerja itu lebih kaya dalam ertikata yang sebenar.
Penulis adalah Editor Berita PAS Melaka dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.