KUALA NERUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Tepoh), Hishamuddin Abdul Karim menggesa pihak kerajaan persekutuan agar isu kekurangan bekalan ayam dan telur dipandang lebih serius dalam menghadapi musim bulan Ramadan
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dan semua menteri terlibat secara langsung dengan sektor kepenggunaan perlu menggiatkan lagi usaha untuk memastikan bekalan ayam dan telur dapat dipulihkan seberapa segera khususnya menghadapi bulan puasa akan datang.
“Ia tidak boleh dibebankan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semata-mata.
“KPDNHEP hanya mengawal harga di peringkat akhir ketika turun kepada pembeli. Kesukaran penternak dengan modal semasa juga perlu dipertimbangkan,” jelasnya kepada kepada pemberita ketika hadir di Karnival Jualan Keluarga Malaysia, perkarangan Pasaraya PXR Kampung Gong Datuk, baru-baru ini.
Menurut Hishamuddin, pelbagai rungutan serta kebimbangan diluahkan oleh masyarakat susulan kekurangan bekalan telur di pasaran menjelang musim perayaan Islam tersebut.
Jelasnya, ia memerlukan penglibatan semua kementerian berkait supaya dapat memberikan komitmen dan juga dapat memastikan supaya semua sumber bekalan ini dapat diselesaikan dengan segera.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, pihaknya serta Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Khairuddin Aman Razali telah memperuntukkan subsidi buat penganjuran Karnival Jualan Keluarga Malaysia di kawasan yang sambutan luar biasa khususnya masyarakat dalam daerah tersebut.
“Hari ini makanan seperti ayam ditaja oleh parlimen dengan memberikan sedikit subsidi jualan. Insya-Allah berkat kerjasama semua rakyat tidak terhimpit dan terbeban.
“Maka harga dapat diturunkan dengan lebih rendah, sekadar untuk sokongan dalam program seperti ini dan kita juga memberikan potongan separuh harga ikan sangkar sungai yang berada di dalam kaunter jualan.
“KPDNHEP telah memainkan peranan yang cukup baik dengan inisiatif penganjuran Karnival Jualan Keluarga Malaysia dan seumpamanya,” katanya lagi.