Home Berita PAS Pahang

Warga emas kelompok yang tidak dilupakan ADN Panching

236
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

PAYA BESAR, 14 Feb :: Menziarahi warga emas adalah rutin yang telah dijadualkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching YB Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya setiap bulan tanpa mengira mereka sakit atau sihat.

Malah biasa juga terjadi bila mana beliau mengubah sedikit jadualnya apabila tanpa dirancang beliau dibawa atau diminta singgah menziarahi orang-orang tua yang mahu bertemu beliau.

Begitulah yang terjadi kelmarin apabila Mohd Tarmizi yang asalnya mahu bersarapan pagi bersama sebahagian penduduk Kg. Chendering dekat sini tetapi kemudian mendapat khabar tentang beberapa orang warga emas yang diberitahu kepadanya.

“Saya diberitahu ada orang-orang tua penduduk kampung yang uzur lalu saya minta dibawa menziarahi mereka. Walaupun tidak dirancang tetapi sekurang-kurangnya saya dapat melaksanakan amalan berziarah yang dituntut agama,” kata Mohd Tarmizi ketika ditemui.

“Lebih terharu lagi apabila ada warga emas yang minta saya singgah sebentar untuk bertemunya di rumah bila mereka mendapat tahu saya ada datang di kampung ini.

“Mereka ni ada yang tidaklah uzur sangat tetapi ada halangan atau kekangan lain tidak dapat untuk datang bersarapan bersama lalu hanya berpesan minta saya lapangkan masa singgah sebentar di rumah mereka. Mana yang sempat saya tunaikan saja,” ujar beliau lagi.

Mohd Tarmizi turut menyatakan beliau tidak akan melupakan kelompok warga emas di mana-mana pun dalam kawasannya tetapi agak mustahil dapat menemui mereka semua dengan kerap kerana rutin harian lain dan tanggungjawab yang pelbagai yang penting untuk ditunaikan.

Ustaz Mohd Tarmizi yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar memberi gambaran luasnya wilayah yang beliau ditaklifkan untuk diurus tadbir. Dalam pada itu beliau kena pula menumpu lebih kepada DUN Panching yang beliau telah dipilih sebagai wakil rakyat.

Dalam masa hampir separuh hari di Kampung Chendering Sabtu lalu beliau memulakan pengisian dengan bersarapan pagi di Warung Pok Kawi bersama-sama dengan penduduk setempat, kemudian   sempat menziarahi 4 buah rumah yang dihuni warga emas. Beliau diiringi Ketua Cawangan PAS Kg. Chendering, Kamaruddin Abdul Rahman dan beberapa orang ahli jawatankuasa.