Oleh : KHAULAH AL AZWAR
BENTONG, 25 Jan :: PAS Kawasan Bentong memohon jasa baik pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia agar mempercepatkan proses baik pulih laluan FT08, Jalan Bentong – Gua Musang Seksyen 15-20 yang runtuh dan masih belum dibaik pulih sejak November tahun lalu.
Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah, notis penutupan jalan buat kali kedua yang dikeluarkan pada 7 Januari 2022 baru-baru ini juga bakal menimbulkan masalah dan bebanan kepada penduduk setempat.
“Tempoh penutupan laluan antara Februari 2022 hingga Jun 2023 terlalu panjang dan ini akan membebankan dan menyusahkan penduduk khususnya Kampung Felda Lurah Bilut, Kampung Lebu dan Kampung Asap.
“Laluan yang ditutup sekarang ini merupakan laluan utama yang digunakan penduduk setempat untuk berulang-alik bekerja, peniaga membeli barang dan pekebun-pekebun berdekatan mengutip hasil mereka.
“Tidak dinafikan memang ada laluan alternatif yang disyorkan pihak JKR, tetapi jaraknya agak jauh, memakan masa dan kos minyak yang tinggi dan ini akan mendatangkan kesulitan serta tekanan kepada mereka, ” jelas Khairuddin.
Tambah beliau, situasi bakal menjadi lebih ‘kacau’ menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri ini nanti memandangkan bilangan trafik mungkin akan bertambah sebanyak dua kali ganda.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Kawasan Bentong, Nordin Rasip berharap pihak JKR dapat mempercepatkan proses baik pulih jalan ini dan dalam masa sama mencari satu kaedah atau laluan alternatif kepada penduduk setempat agar dapat berulang-alik ke bandar Bentong setiap hari tanpa rasa tertekan.
“Walaupun ‘kawasan’ ini sebenarnya bukanlah tanggungjawab kami, tetapi atas rasa simpati dan prihatin kepada luahan hati rakyat, kami berusaha dan berikhtiar membantu apa termampu.
“Justeru, kami PAS Bentong telah merangka dan menulis satu surat bantahan berserta cadangan dan akan dihantar kepada pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia selewat-lewatnya pada hari Selasa, 25 Januari seperti termaktub dalam notis mereka,” tegasnya.
Beliau yakin, pihak-pihak yang diberikan amanah, jujur dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab serta mengambil kira kepentingan dan kemudahan rakyat sebelum membuat sebarang tindakan atau keputusan.
Pada November tahun lalu, notis pertama telah dikeluarkan oleh JKR berhubung Laluan FT 08, Jalan Bentong – Gua Musang Seksyen 15.00 hingga 20.00 ditutup buat sementara bermula 24 November hingga 23 Disember 2021.
Walau bagaimanapun pada 7 Januari baru-baru ini, pihak JKR telah mengeluarkan satu lagi notis bertulis berhubung cadangan penutupan laluan sama bermula 1 Februari 2022 hingga Jun 2023.